ABIM KECAM KEPUTUSAN HUKUMAN MATI KE ATAS AZHARUL ISLAM - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM KECAM KEPUTUSAN HUKUMAN MATI KE ATAS AZHARUL ISLAM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam keputusan Mahkamah Agung Bangladesh
untuk mengekalkan hukuman mati terhadap pemimpin tertinggi Jamaat-e-Islami atas
tuduhan jenayah perang.


ABIM menegaskan bahawa hukuman itu merupakan kesinambungan siri penindasan kejam
oleh pihak berkuasa terhadap gerakan Islam tersebut sejak Perdana Menteri Sheikh Hasina
meyandang kepemimpinan negara tersebut mulai tahun 2009.


ABIM mengulangi pendirian bahawa Tribunal Jenayah Antarabangsa yang kontroversi yang
ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 2010 – yang kononnya menghukum mereka yang
terlibat dalam jenayah perang pada tahun 1971 – sebagai bertentangan dengan semangat
keadilan, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang.


Malah, tribunal yang menjatuhkan hukuman mati kepada orang ramai termasuk lima
pemimpin Jamaat mengenai tuduhan jenayah perang juga telah dikritik oleh masyarakat
antarabangsa kerana perbicaraan dilakukan tanpa kredibiliti yang jelas.
Di samping itu, Human Rights Watch pada 2016 menggesa kerajaan Bangladesh
mengenakan moratorium segera terhadap hukuman mati di bawah tribunal kontroversi.
Oleh yang demikian, ABIM menggesa kerajaan Bangladeshi menghentikan semua
penindasan politik, untuk memulihkan hak-hak asasi manusia semua rakyat dan
membebaskan semua pemimpin Jamaat-Shibir yang ditahan serta merta dan membatalkan
prosiding tribunal yang berat sebelah & tidak berperikemanusiaan itu.

ABIM dan semua masyarakat antarabangsa telah memerhatikan situasi hak politik dan hak
asasi manusia di Bangladesh, menilai berlaku tekanan yang drastik dan sistematik terhadap
hak-hak sivil dan demokratik.


Penindasan dan penganiayaan yang berterusan hanya akan meminggirkan negara tersebut
daripada masyarakat antarabangsa.

“MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN”

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)