ABIM KECAM RAMPASAN KUASA TENTERA JUNTA MYANMAR: DEMOKRASI, KEADILAN DAN HAK ASASI MANUSIA SEMAKIN KELAM - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM KECAM RAMPASAN KUASA TENTERA JUNTA MYANMAR: DEMOKRASI, KEADILAN DAN HAK ASASI MANUSIA SEMAKIN KELAM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam rampasan kuasa tentera dan tindakan Junta Tentera Myanmar menahan Aung San Suu Kyi serta pemimpin-pemimpin lain yang dipilih secara demokratik oleh rakyat Myanmar.

ABIM menegaskan kerajaan Junta ini bukanlah kerajaan yang diundi oleh rakyat dan
pastinya bukan kerajaan yang diperlukan oleh rakyat Myanmar.


Perlu ditekankan bahawa keterbukaan demokrasi adalah elemen penting yang
menentukan jatuh bangun sosio-ekonomi sesebuah negara moden.


Tanpa asas demokrasi, rakyat Myanmar akan menjadi mangsa susulan daripada
keruntuhan sosio-ekonomi negara itu yang menafikan hak demokrasi mereka.


Apatah lagi ia bersangkut-paut dengan krisis kemanusiaan yang dialami umat Islam
etnik Rohingya yang berlarutan sepanjang pentadbiran Myanmar yang menafikan
kewujudan etnik terbabit sebagai sebahagian daripada warga negara tersebut.


Harus ditegaskan rekod hak asasi Junta tentera Myanmar terhadap etnik-etnik lain
serta rakyat Myanmar secara keseluruhan juga amat meragukan dan
membimbangkan.


Lantas, tindak tanduk terkini Junta tentera Myanmar hanya akan memburukkan lagi
gelombang krisis kemanusiaan di rantau Asia Tenggara.


ABIM menegaskan, situasi terbaharu ini juga pasti memberi tandatanya sejauh
mana keberkesanan Perintah Provisional Measures yang dikeluarkan oleh
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan Myanmar
menghentikan segala bentuk jenayah genosid ke atas etnik Rohingya termasuklah
membunuh, merogol dan memusnahkan kampung halaman mereka.

Justeru, atas kebimbangan yang dinyatakan, ABIM menggesa negara-negara
anggota ASEAN yang di mana Brunei sebagai pengerusi untuk bertegas sebulat
suara menyatakan bantahan terhadap kerajaan Junta Myanmar.


Selain itu, ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) juga
harus sama memberi tekanan kepada kerajaan Junta Myanmar yang jelas
melanggar prinsip hak asasi manusia di wilayah ASEAN di dalam mesyuarat AICHR
ke-32 yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini sehingga 5hb Februari nanti.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)