ABIM KECAM SERANGAN ISRAEL KE ATAS MASJID AL-AQSA - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM KECAM SERANGAN ISRAEL KE ATAS MASJID AL-AQSA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya kekejaman
terkini yang dilakukan Israel di Masjidil Aqsa.


ABIM merujuk kepada laporan pencerobohan oleh rejim Zionis yang mengakibatkan
kecederaan kepada hampir 200 umat Islam Palestin yang sedang beriktikaf di masjid
tersebut.


ABIM menegaskan tindakan ini sebagai perbuatan biadab kerana ia dilakukan ke
atas umat Islam sedang beribadah sempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini,
yang terang-terangan tidak menghadirkan sebarang ancaman keselamatan.


Justeru kekejaman ini merupakan jenayah terhadap kemanusiaan kerana
membabitkan masyarakat awam termasuk wanita serta kanak-kanak sepertimana
dilaporkan media antarabangsa.


Atas nama kebenaran dan keadilan, ABIM menggesa masyarakat antarabangsa
untuk membuka mata serta menyatakan solidariti mereka bersama rakyat Palestin
yang secara berterusan menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis yang melangkaui
norma kemanusiaan sejagat.


ABIM juga menuntut pemimpin-pemimpin dunia khususnya dalam kalangan negara
Islam termasuk Malaysia membuktikan solidariti dengan mengenakan tekanan politik
sehingga kekejaman seperti ini dihentikan sama sekali.

Muhammad Faisal Abdul Aziz,
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).