ABIM KUTUK HUKUMAN MATI KE ATAS 12 TOKOH ULAMA MESIR - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM KUTUK HUKUMAN MATI KE ATAS 12 TOKOH ULAMA MESIR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk dengan keras hukuman mati yang
dikenakan ke atas 12 tokoh ulama’ serta ilmuwan terbaik Mesir yang dijatuhkan oleh
mahkamah negara tersebut baru-baru ini.


ABIM merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Kesatuan Ulama’ Sedunia
menerusi Presidennya, Sheikh Dr Ahmad Al-Raysuni dan Setiausaha Agungnya
Sheikh Dr. Ali Al-Qurrah Daghi, yang menegaskan hukuman ini bermotif politik, berat
sebelah serta melanggar prinsip hak asasi serta keadilan sejagat.


Dalam masa sama, Amnesty International’s Research and Advocacy Director for the
Middle East and North Africa, Philip Luther menegaskan bahawa hukuman mati
kejam ini yang bermula pada tahun 2018 menerusi perbicaraan berat sebelah
adalah satu penodaan terhadap terhadap sistem keadilan dan memberikan
bayangan gelap terhadap seluruh sistem keadilan Mesir.


ABIM menilai hukuman ini merupakan kesinambungan daripada amalan politik
dendam yang tidak berkesudahan semenjak kerajaan yang dibentuk daripada suara
demokratik warga Mesir digulingkan pada 2013 menerusi rampasan kuasa.
Selain itu, kerajaan Mesir pimpinan Abdul Fatah Al-Sisi hingga hari ini terkenal
sebagai kerajaan yang mengamalkan undang-undang drakonian serta menafikan
prinsip keadilan serta kedaulatan undang-undang.


Justeru, ABIM menggesa para pimpinan negara serta seluruh warga dunia Islam,
memberikan tekanan politik ke atas Mesir untuk menghentikan tindakan kejam atas
paksi politik dendam ini kerana ia bertentangan dengan prinsip Karamah Insaniah
yang mengangkat maruah manusiawi tanpa kompromi dalam ajaran Islam.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)