ABIM MENJUNJUNG KASIH TITAH DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG, GESA SELURUH PIHAK PERBAIKI SEMULA NEGARA - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM MENJUNJUNG KASIH TITAH DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG, GESA SELURUH PIHAK PERBAIKI SEMULA NEGARA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjunjung kasih ke atas titah DYMM Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di atas
pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

ABIM menegaskan pergolakan politik yang berlaku yang bermula daripada siri
pengkhianatan ke atas mandat rakyat pada tahun lalu telah memangsakan rakyat
serta meletakkan bebanan ke atas bahu Ke Bawah Duli Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong untuk menyelesaikannya sebaik mungkin.

ABIM juga menjunjung Titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan
Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah pada bulan Disember lalu yang merujuk kepada
krisis sama di negeri Perak sebagai cerminan kegagalan kepimpinan politik.

Oleh itu, ABIM menegaskan tiba masanya untuk seluruh pihak khususnya pemimpin
politik untuk memperbaiki semula sistem politik negara dengan mengangkat agenda
perubahan sistem politik bagi menghentikan sebarang bentuk penyalahgunaan
kuasa serta pengkhianatan amalan demokrasi.

Lebih utama, mereka yang telah diamanahkan untuk menjadi pemimpin harus fokus
untuk membantu rakyat menangani wabak COVID-19 secara terbuka dan
bertanggungjawab serta melibatkan peranan semua pihak secara inklusif.

Pesan Ke Bawah Duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan
Yang di-Pertuan Agong perlu menjadi panduan kepada YAB Perdana Menteri, iaitu
“yang menang tidak menang semuanya, yang kalah tidak kalah semuanya.”

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)