ABIM Menyeru Rakyat Malaysia Terus Maju Ke Hadapan Dengan Waspada Dan Optimistik - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM Menyeru Rakyat Malaysia Terus Maju Ke Hadapan Dengan Waspada Dan Optimistik

Angkatan Belia Islam Malaysia merujuk kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah daerah dan mukim iaitu Sandakan,
Papar, Tuaran dan Klang yang menandakan bahawa penularan wabak Covid-19 masih
pada tahap membimbangkan dan harus diwaspadai.

Berdasarkan penguatkuasaan PKPB tersebut, menurut statistik Jabatan Perangkaan
Malaysia 2020, kira-kira 1.9 juta rakyat akan terkesan sepanjang tempoh PKPB dengan
pecahan Sandakan (518,200), Papar (171,000), Tuaran (130,000 dan Klang (1.1 juta).
Selain itu jumlah kes baharu Covid-19 berterusan di tahap yang tinggi yang menjadikan
jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 13,993 kes.

Perkembangan ini sememangnya sesuatu yang meresahkan, justeru ABIM menyeru
kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu-padu menjaga dan mematuhi
Prosedur Operasi Standard (SOP), tanpa memberikan stigma negatif kepada mangsa
pandemik Covid-19.

Dalam masa yang sama, ABIM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk
bertenang, tidak panik serta tidak gelisah keterlaluan di samping terus menjaga
kesihatan mental dan emosi khususnya ketika kesan sokongan moratorium telah
berakhir mulai bulan ini.

Dalam krisis yang kita hadapi ini, perpaduan rakyat tanpa mengira kaum dan geografi
tempat amat penting untuk kita bergerak ke hadapan secara optimistik, untuk
melangkah keluar meredakan permasalahan yang dihadapi ini.

Untuk itu, ABIM sentiasa memberi sokongan penuh kepada pihak Kementerian
Kesihatan Malaysia dan pejuang barisan hadapan, termasuk para guru sekolah yang
banyak berkorban serta menyumbang tenaga dan keringat demi kemaslahatan semua.

ABIM juga mempelawa seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa agar negara
kembali stabil dan berada di atas landasan yang baik, bersama kesedaran untuk
memartabatkan keluhuran perlembagaan, semangat kesetiaan kepada raja dan negara
serta mengukuhkan demokrasi kenegaraan.

Muhammad Faisal Abdul Aziz,
Presiden ABIM.

#ABIMdiHatiku