ABIM SARAN SAMBUNG TEMPOH MARATORIUM SELARI TEMPOH SASARAN HASIL PENJANA
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada skim penangguhan pembayaran atau
moratorium bagi tempoh enam bulan untuk bayaran pinjaman yang sedang berlangsung
sebagai suatu inisiatif meringankan beban rakyat yang bermula sejak penguatkuasaan Perintah
Kawalan Pergerakan, bermula 01 April yang lalu. Moratorium yang ditawarkan ini berlangsung
selama enam bulan dan bakal berakhir pada September 2020.
Secara prinsipnya, ABIM menyambut baik skim moratorium ini yang ternyata memberi
kelegaan kepada rakyat ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
khususnya ketika aktiviti ekonomi tidak terganggu.
Walau bagaimanapun, kami menyuarakan kekhuatiran oleh sebahagian segmen masyarakat
Malaysia khususnya mereka yang masih belum bersedia untuk menghadapi fasa selepas
tempoh moratorium berakhir. Bermula Oktober 2020, mereka perlu kembali menanggung
komitmen dalam bentuk pembayaran balik pinjaman, justeru menyulitkan golongan pekerja
yang telah diberhentikan atau dibuang pekerjaan menyebabkan mereka hilang punca
pendapatan susulan pandemik Covid-19.
Oleh yang demikian, ABIM menyarankan supaya tempoh skim moratorium ini dilanjutkan ke
tempoh yang bersesuaian selari dengan indokator keberhasilan pakej Pelan Jana Semula
Ekonomi Negara (PENJANA).
Dalam perkembangan sama, merujuk kepada statistik demografi Malaysia terkini, kadar
pengangguran di negara ini berada pada paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang pada
bulan Mac 2020. Manakala, unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei 2020
menunjukkan kadar pengangguran dijangka akan terus meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih
860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun 2020. Oleh itu, ABIM menyambut baik
inisiatif kerajaan menerusi PENJANA yang menggalakkan majikan mengambil pekerja baharu
seperti Program Insentif Pengambilan Pekerja telah diperuntukkan berjumlah RM1.5 bilion.
Ia adalah bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan untuk memberi pekerjaan
kepada golongan penganggur dan belia. Selain itu, terdapat juga beberapa inisiatif lain
termasuklah program latihan dan penempatan, program peningkatan kemahiran (upskilling) di
dalam industri dan lain-lain yang berkaitan untuk memastikan rakyat mendapat pendapatan.
Namun begitu, ABIM berpandangan bahawa program dan inisiatif memberi semula pekerjaan
kepada rakyat yang telah diberhentikan kerja ini harus mempunyai tempoh sasaran
keberhasilan yang jelas dan munasabah. Dalam masa yang sama, tempoh sasaran keberhasilan
program PENJANA ini harus selari dengan inisiatif meringankan bebanan komitmen rakyat
termasuk tempoh skim moratorium. Oleh itu, ABIM menyarankan bahawa waktu yang paling
sesuai untuk menamatkan tempoh moratorium adalah selepas ekonomi rakyat dapat
diberdayakan sebaiknya berdasarkan petunjuk dari hasil pelaksnaan pakej-pakej ekonomi yang
dicadangkan kerajaan melalui PENJANA 2020.
Dalam pada itu, ABIM juga menyarankan agar pihak kerajaan melanjutkan insentif lain yang
tidak kurang pentingnya seperti subsidi upah kepada majikan oleh PERKESO sehingga hujung
tahun ini untuk memastikan majikan dapat meneruskan operasi dan melanjutkan penggajian
pekerja sedia ada dalam iklim ekonomi yang tidak menentu.
Menerusi pelanjutan inisiatif sebegini, ia dapat membantu kerajaan mencapai garis hala tuju
ekonomi semasa khususnya bagi memastikan isu pengangguran dapat dibendung dengan baik,
seterusnya merancakkan kembali aktiviti ekonomi secara sistematik apabila rakyat beroleh
pendapatan.
“MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN”
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)