ABIM SERU WARTAWAN BANGKIT SOLIDARITI BERSAMA MUATH: KECAM KEGANASAN TERBARU REJIM ZIONIS KE ATAS GAZA - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM SERU WARTAWAN BANGKIT SOLIDARITI BERSAMA MUATH: KECAM KEGANASAN TERBARU REJIM ZIONIS KE ATAS GAZA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan
zalim terkini rejim Zionis Israel ke atas orang awam Palestin. Anak kecil, wanita serta warga
tua tidak terlepas daripada menjadi mangsa yang terbunuh dan tercedera akibat serangan
udara serta kereta kebal Israel ini.


Media antarabangsa melaporkan tindakan tersebut telah mengorbankan seramai 32 orang
awam Palestin di samping mengakibatkan ratusan yang lain mengalami kecederaan. Saluran
media antarabangsa Al-Jazeera melaporkan seramai lapan kanak-kanak dan tiga wanita.
Selain ibu pejabat Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia Palestin (ICHR) di Bangunan
Harara, Gaza mengalami kemusnahan, wartawan turut menjadi sasaran kezaliman rejim
Zionis.


Kekejaman rejim zionis tidak mengenal perikemanusiaan. Para petugas media turut menjadi
sasaran. Baru-baru ini jurugambar Palestin, Mu’ath Armaneh, telah ditembak pada matanya
oleh tentera Israel ketika membuat liputan. Insiden ini mengakibatkan beliau telah kehilangan
penglihatan pada sebelah matanya.


Justeru, satu kempen global dengan tanda pagar #MuathEye dan #MataMuaz telah
digerakkan sebagai symbol solidariti kepada beliau.

Kekejaman tentera rejim Zionis Israel ini secara jelas adalah pencabulan ke atas prinsip hak
asasi manusia sejagat. Atas dasar ini, ABIM menggesa rakyat Malaysia dan masyarakat
antarabangsa sama-sama meneruskan tekanan untuk mengutuk tindakan tidak
berperikemanusiaan negara Israel.


ABIM menyeru agar masyarakat dunia membuka mata seluas-luasnya dan bersama
menggerakkan kempen advokasi terhadap kepayahan dan penderitaan yang dialami rakyat
Palestin.


Justeru, berasaskan lunas-lunas tersebut ABIM menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa
(ICC) untuk mengheret pihak Israel ke muka pengadilan demi menegakkan hak rakyat serta
mengelakkan tindakan kejam seperti ini berulang.


ABIM juga mengharapkan kerajaan Malaysia tetap berperanan aktif memimpin tekanan
masyarakat antarabangsa ke atas Israel lantaran kekejaman yang dilakukan secara semberono
semakin berleluasa.

“MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN”

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)