angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

BENCANA BANJIR : ABIM ULANGI GESAAN MORATORIUM PEMBALAKAN UNTUK TANGANI PERUBAHAN IKLIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada beberapa insiden bencana
banjir yang berlaku dalam negara. ABIM menegaskan situasi yang berlaku
membuktikan bahawa negara kita telah memasuki fasa perubahan iklim yang
semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera semua pihak.

Lebih-lebih lagi, kita bakal memasuki musim angin monsun yang terdedah kepada
berlakunya banjir besar di bahagian pantai timur.

ABIM menegaskan bahawa bencana banjir besar yang sering berlaku berulang kali
tanpa jangkaan adalah berpunca daripada situasi perubahan iklim. Perubahan iklim
menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti yang berlaku sekarang
dengan keadaan ketidakbolehjangkaan berlakunya sesuatu musim mengikut masa
kebiasaan seperti musim tengkujuh.

Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan
pada sesuatu masa. Maka, ini menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila
kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi.
Oleh itu, pihak berkuasa dan masyarakat harus menitikberatkan isu perubahan iklim
yang berlaku yang pasti menjadi faktor utama kepada masalah banjir.

Sementara itu, hutan adalah kaedah paling murah dan paling berkesan dalam
menangani isu perubahan cuaca dan iklim ini. Hutan amat berkesan dengan
memerangkap karbon diaoksida iaitu gas yang menjadi punca kepada perubahan
iklim.

Sehubungan dengan itu, perlu dipertegaskan bahawa aktiviti pembalakan yang
berleluasa dan penebangan hutan tanpa kawalan adalah punca utama berlakunya
perubahan iklim. Maka hutan wajib dipertahankan malah diperbanyakkan lagi
kawasan hutan sekiranya kerajaan semasa benar-benar serius untuk menangani isu
perubahan iklim dan cuaca ini.

Oleh hal yang demikian, ABIM mengulangi gesaan untuk kerajaan mengeluarkan
satu perintah moratorium untuk menghentikan sebarang aktiviti pembalakan buat
masa ini sebagai solusi tuntas kepada bencana ini yang akhirnya membebankan
rakyat. Hal ini memandangkan seluruh dunia pada masa ini termasuk Malaysia telah
memasuki fasa Darurat Iklim yang menuntut tindakan segera.

Bagi menggembleng sokongan semua pihak, ABIM bersama Pertubuhan Pelindung
Khazanah Alam Malaysia (PEKA) melancarkan Petisyen dalam talian bagi
menggesa moratorium khas ini dilaksanakan untuk menghentikan aktiviti
penebangan hutan buat sementara waktu. Pautan Petisyen –
https://www.change.org/HentiBalak

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) &
Penyelaras Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN)