COVID-19: ABIM SARAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM) PINDA TAKWIM PERSEKOLAHAN & KEMUKA ALTERNATIF UNTUK SESI PERSEKOLAHAN 2020-2021
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada keperihatinan orang ramai
berhubung sesi persekolahan anak-anak selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
yang akan bermula pada 15 April 2020.
ABIM ingin berkongsi tiga senario yang akan berlaku selepas tamat tempoh PKP secara
umum. Pertama usaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 masih belum dapat
dipastikan berjaya 100% sebaik tempoh PKP tamat.
Kedua senario kesesakan jalan raya, pasar raya, pergerakan rentas daerah dan negeri serta
penggunaan pengangkutan awam secara mendadak akan berlaku sebaik tempoh PKP
tamat.
Ketiga sejauh mana penjarakkan sosial dapat dilakukan sebaiknya dalam kalangan anak
murid dan guru-guru di sekolah apabila sesi persekolahan bermula.
Berasaskan ketiga-tiga senario yang dinyatakan, ABIM berpandangan untuk pihak KPM
untuk merombak semula takwim persekolahan 2020-2021 dengan pengubahsuaian waktu
cuti pada akhir tahun. Maka, selanjutnya jadual peperiksaan juga akan turut sama
dianjakkan.
Saranan ini berasaskan keprihatinan masyarakat yang masih ramai khuatir sekiranya sesi
persekolahan dibuka serta-merta selepas tamat tempoh PKP.
Dalam masa sama, ABIM mencadangkan KPM untuk mengukuhkan program intervensi
yang lebih bersistematik melalui platform “Google Classroom” dan membuka pusat
internet alternatif (terkawal) seperti di sekolah untuk murid yang tiada kemudahan internet
di rumah.
Selain itu, ABIM juga menyarankan pihak kerajaan untuk memikirkan situasi kewangan
golongan yang berkaitan yang turut terjejas hingga sesi persekolahan dibuka secara mutlak.
Ini termasuklah golongan pengusaha bas sekolah, pengusaha sekolah dan Prasekolah
swasta serta TASKA.
Dalam menangani situasi ini, perlu diwujudkan keseimbangan yang murni antara
memerangi wabak Covid-19 dan situasi kewangan pihak yang terlibat menerusi sistem
sokongan yang baik demi kelangsungan kehidupan rakyat.
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)