KESEMPITAN HIDUP RAKYAT KETIKA PKP: ABIM GESA KERAJAAN AMBIL TANGGUNGJAWAB - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

KESEMPITAN HIDUP RAKYAT KETIKA PKP: ABIM GESA KERAJAAN AMBIL TANGGUNGJAWAB

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) 3.0 yang berlanjutan selama hampir sebulan yang
memperlihatkan kegagalan untuk menurunkan angka kes Covid-19.

Dalam masa sama, ABIM menegaskan situasi PKP 3.0 yang sedang berlangsung
ini, menunjukkan tanda-tanda kesempitan hidup yang semakin parah dalam
kalangan rakyat. Berdasarkan laporan dari Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi
(AEC) menyatakan lebih 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan
pertengahan (M40) telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan
rendah B40 yang memberi tamparan hebat terhadap pendapatan rakyat Malaysia.

Selain itu, menerusi dialog Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) telah mendedahkan data dan fakta yang menunjukkan
situasi ekonomi rakyat yang amat meruncing. Antaranya 200,000 orang hampir
kosong simpanan mereka di KWSP, 6.24 juta ahli di bawah 55 tahun hanya ada
kurang dari RM10,000 dalam Akaun 1, serta berdasarkan Purata Simpanan
Kebangsaan Rakyat Malaysia, tanpa KWSP purata rakyat Malaysia yang
mempunyai tabungan adalah negatif 0.5%.

Dalam masa sama, kerajaan hari ini masih gagal untuk mendapatkan bekalan vaksin
yang mencukupi. Menurut kenyataan dari YAB Perdana Menteri, kerajaan gagal
untuk memberi 400,000 dos vaksin sehari akibat dari kegagalan dari pihak pembekal
untuk membekalkan vaksin mengikut kehendak negara. Kerajaan turut mendakwa
kegagalan ini mempunyai kaitan dengan faktor monopoli vaksin dari negara-negara
maju.

Kenyataan ini menzahirkan bahawa usaha melawan Covid-19 menerusi sasaran
mencapai imuniti kelompok akan berlarutan untuk satu tempoh yang lama dan
sudah pasti sekatan seperti PKP yang dijalankan mungkin akan turut berpanjangan
dan memberi gambaran Pelan Pemulihan Negara bakal berlanjutan.

Justeru, ABIM menggariskan beberapa gesaan untuk pihak kerajaan sebagai
mengambil tanggungjawab atas kesengsaraan hidup rakyat yang berlaku.

Pertama, ABIM gesa kerajaan bertanggungjawab terhadap kesan langsung dari PKP
yang diumumkan ke atas rakyat. Satu pakej bantuan besar-besaran harus
ditunaikan kepada rakyat meliputi B40 serta M40 yang juga berada dalam
kedudukan bakal tergelincir ke golongan B40 pada bila-bila masa. Ini termasuk
moratorium pinjaman automatik yang harus dilaksanakan sama seperti PKP 1.0.

Kedua, pihak kerajaan harus berusaha mencari alternatif atas kegagalan yang
berlaku secepatnya termasuk kegagalan untuk mendapat bekalan vaksin yang
mencukupi untuk memastikan kesengsaraan hidup rakyat ini tidak terlalu
berpanjangan. Menyalahkan satu pihak lain tanpa kemukakan alternatif segera tidak
akan sama sekali membantu rakyat Malaysia mengakhiri keperitan hidup yang
dialami ketika ini.

Apatah lagi kerajaan telah mengumumkan peruntukan program vaksinisasi sejumlah
RM 5 Billion meliputi setiap aspek perlaksanaannya termasuk pembelian vaksin
pada 17 Mac 2021 sepertimana yang diumumkan kementerian kewangan. Maka,
rakyat berhak mengetahui sebanyak mana jumlah itu memberi nilai kepada
keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Ketiga, ABIM sarankan pihak kerajaan mengkaji semula perancangan yang
dibentangkan dengan penglibatan bersama semua pihak memandangkan situasi
semasa terutama berasaskan jumlah angka kes Covid-19 yang masih mencanak
dikhuatiri gagal menemukan hasil dari perancangan yang dikemukakan kerajaan. Ini
termasuklah kajian semula terhadap SOP yang tidak jelas dalam aspek
penguatkuasaan PKP 3.0

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)