KEZALIMAN ISRAEL: ABIM ALU-ALUKAN RESOLUSI MAJLIS HAK ASASI MANUSIA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (UNHRC) (A/HRC/S-30/L.1) - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

KEZALIMAN ISRAEL: ABIM ALU-ALUKAN RESOLUSI MAJLIS HAK ASASI MANUSIA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (UNHRC) (A/HRC/S-30/L.1)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengawasi secara dekat isu pelanggaran
undang-undang antarabangsa, prinsip hak asasi manusia dan Resolusi Majlis
Keselamatan PBB oleh pihak rejim Zionis Israel melalui tindak-tanduk yang tidak
berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

ABIM mengalu-alukan perkembangan terbaru Majlis Keselamatan PBB pada 27hb
Mei 2021 melalui undi majoriti (24 undi menyokong, 9 membantah dan 14
berkecuali) untuk meluluskan satu resolusi (A/HRC/S-30/L.1) bagi menubuhkan
sesegera mungkin sebuah suruhanjaya inkuiri antarabangsa yang bebas, untuk
menyiasat di dalam Wilayah Palestin Yang Dijajah, termasuk Baitul Maqdis Timur,
dan di dalam Israel berkenaan kesemua pelanggaran undang-undang kemanusiaan
antarabangsa dan kesemua pelanggaran serta ketidakpatuhan terhadap undang-
undang hak asasi manusia yang didakwa dilakukan sehingga dan sejak 13 April
2021.

Pada masa yang sama, ABIM bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh TYT
Michelle Bachelet, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, bahawa serangan
kejam rejim Israel ke atas Gaza boleh diletakkan sebagai jenayah perang.

ABIM menegaskan bahawa tindakan tersebut oleh pihak UNHRC adalah tepat dan
ABIM akan terus menyuarakan hujah kami, bahawa unsur hak asasi seharusnya
tidak mengenal warna kulit bagi melindungi setiap individu yang dizalimi.

ABIM ingin memetik pandangan Dato’ Dr Afifi al-Akiti (Felo Pengajian Islam
Universiti Oxford) sewaktu “Program Solidaritas Kemanusiaan Untuk Palestin” yang
dianjurkan pada 26hb Mei 2021, bahawa isu Israel-Palestin adalah krisis
kemanusiaan yang melangkaui isu politikal mahupun isu agama, dan inilah sebab di
sebalik ramainya penunjuk perasaan di kota-kota utama dunia Barat, terutama sekali
daripada golongan belia, dan termasuklah masyarakat Yahudi yang insaf.
Menggunakan naratif kemanusiaan akan membuka ruang baru untuk menyelesaikan
konflik di bumi Palestin dan ini adalah satu langkah ke hadapan.

Prinsip ini telah dinyatakan ketika mesyuarat rasmi antara ABIM dan Badan
Masyarakat Madani (CSO) Malaysia dengan TYT Michelle Bachelet, sewaktu
kunjungan rasmi beliau ke Malaysia, dengan iltizam jelas untuk memastikan
kesemua kes kezaliman dan penindasan yang dilakukan terhadap umat Islam di
beberapa negara seperti China – Uighur, Myanmar – Rohingya, dan Palestin dilayan
secara sama penting sebagaimana kes lain dan perlu ditekankan kepentingannya
oleh pihak PBB.

Pada masa yang sama, ABIM secara konsisten menggesa Mahkamah Jenayah
Antarabangsa (ICC) untuk menguatkuasakan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan
PBB dengan memulakan prosiding perundangan terhadap Israel dengan segera.
Resolusi 2334 menegaskan kembali pendirian Majlis Keselamatan PBB bahawa
penubuhan penempatan oleh rejim Israel di wilayah Palestin yang dijajah sejak
1967, termasuk Baitul Maqdis Timur, adalah salah di sisi undang-undang dan
merupakan pelanggaran biadab terhadap undang-undang antarabangsa.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).