KOMUNITI PELBAGAI AGAMA MALAYSIA ZAHIRKAN KEKHUATIRAN TERHADAP ISU DARURAT IKLIM - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

KOMUNITI PELBAGAI AGAMA MALAYSIA ZAHIRKAN KEKHUATIRAN TERHADAP ISU DARURAT IKLIM

Hari ini bertarikh 11 Mac 2021 sempena Sacred People Sacred Earth Day of Action yang
diinisiatifkan oleh masyarakat dunia menerusi gabungan “Greenfaith” iaitu sebagai hari
iklim terbesar global berasaskan keagamaan dalam sejarah, Malaysian Interfaith Climate
Change Network (MICCN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Friendship Group
of Inter-Religious Services (FGIS) dan gabungan NGO berasaskan agama serta
pertubuhan masyarakat sivil lain telah menyatakan komitmen besar kami untuk
mempertahankan keadilan iklim serta masa depan bumi ini dari kerosakan serta
pencemaran yang mengakibatkan berlakunya darurat iklim.


Maka, kami akan berusaha untuk menyebarkan kefahaman yang jelas kepada komuniti
agama masing-masing akan peri pentingnya kita bersama-sama menjaga alam ini yang
merupakan salah satu ciptaan dan anugerah Tuhan yang terindah.


Untuk itu, sempena peristiwa besar pada hari ini kami bersama-sama meluncurkan
kempen “Memusnahkan Bumi adalah berlawanan dengan Agama Saya”, “Destroying the Earth is
against My Religion
”.


Dalam masa yang sama, kami ingin menegaskan bahawa usaha murni ini perlu hadir
dengan komitmen bersama semua pihak yang bukan hanya tertumpu kepada masyarakat
biasa semata tetapi juga merangkumi sektor kerajaan dan swasta.


Susulan penularan wabak Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan isu alam sekeliling,
kami ingin menzahirkan kekhuatiran terhadap kelestarian usaha bersama menangani isu
alam sekitar dan perubahan iklim.


Apa yang mendukacitakan, respon kerajaan-kerajaan di dunia rata-ratanya dilihat
membelakangkan isu perubahan iklim terutama dalam menyalurkan sumber kewangan
menerusi pelbagai pakej ekonomi menangani wabak Covid-19.


Dalam konteks ini, adalah penting untuk kita melihat Greenness Stimulus Index (GSI) yang
dikeluarkan Finance for Biodiversity Initiatives – F4B yang membuat penilaian bagaimana
usaha kerajaan-kerajaan menangani Covid-19 khususnya dalam bidang ekonomi memberi
sumbangan terhadap pembangunan lestari, memelihara biodiversiti serta memastikan
wujudnya perlindungan ke atas perubahan iklim.

Dalam analisis yang dikeluarkan, dapatan menunjukkan pakej rangsangan yang
diumumkan majoriti negara-negara di dunia hingga kini menunjukkan indikator ‘net
negative
’ terhadap kesan alam sekitar. Justeru dapatan menunjukkan majoriti besar dana
diperuntukkan untuk ekonomi negara bersifat merosakkan kelestarian alam sekitar di
masa hadapan, walaubagaimana laporan tersebut mengakui wujudnya petanda
penambahbaikan.


Secara keseluruhan, laporan tersebut mencatatkan sejumlah US$4.6 trilion dari
keseluruhan US$14.9 trillion pakej rangsangan yang diumumkan memberi sumbangan
terhadap sektor-sektor berkaitan alam sekitar.


Dalam konteks Asia Tenggara, tiga negara disenaraikan untuk dianalisis iaitu Singapura,
Indonesia dan Filipina. Singapura mencatatkan angka negatif bersih pakej ekonomi yang
memberi sumbangan terhadap isu alam sekitar dan perubahan iklim berbanding
Indonesia dan Filipina yang mempunyai inisiatif bercampur antara negatif dan positif
namun, secara keseluruhan mencatatkan angka yang negatif.


Indikator ini seharusnya menjadi panduan buat negara-negara di Asia Tenggara termasuk
negara yang tidak disenaraikan dalam kajian seperti Malaysia supaya sesuatu dapat dibuat
dalam memastikan pakej ekonomi menangani Covid-19 mempunyai kesinambungan
terhadap pembangunan lestari untuk generasi mendatang termasuk menjawab isu-isu
darurat iklim yang dunia sedang hadapi. Maka, pakej rangsangan ekonomi harus bersifat
meluas untuk menyokong usaha besar penambahbaikan inisiatif menangani isu alam bagi
membuahkan agenda keadilan iklim.


Selain pakej ekonomi, usaha dan komitmen kerajaan terhadap inisiatif antarabangsa
seperti sasaran Carbon Neutrality 2050 di bawah Paris Agreement harus sentiasa disemak
dan ditambah baik supaya kita sentiasa berada di landasan yang tepat dan tidak pula
menangguhkan sasaran tersebut bila menjelang tempoh yang ditetapkan.


Maka, dalam konteks ini kami akan terus bersama rakyat Malaysia untuk konsisten
menjadi anggota pendesak menggesa kerajaan serius menangani isu perubahan iklim, dan
tidak hanya fokus kepada isu memulihkan sektor ekonomi yang difahami secara literal
semata-mata.

#BangsaMalaysiaLawanPerubahanIklim

#BangsaMalaysiaFightingClimateChange

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Penyelaras
Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICC)
Merangkap Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)