PASTIKAN UNDI18 DIKUATKUASAKAN SEBELUM PILIHAN RAYA UMUM KE-15 - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

PASTIKAN UNDI18 DIKUATKUASAKAN SEBELUM PILIHAN RAYA UMUM KE-15

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada kenyataan oleh Yang di-
Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim yang dilihat cuba berdalih dengan dakwaan kononnya pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan di Parlimen dibuat tergesa-gesa dan bermotifkan politik.


ABIM menilai kenyataan tersebut seolah-olah memberi ramalan bahawa dasar untuk
menurunkan had umur undi kepada 18 tahun yang telah diputuskan Parlimen
bertarikh 16 Julai 2019 lalu tidak akan dikuatkuasakan.


ABIM menegaskan tiada alasan kukuh untuk mana-mana pihak berganjak dari
keputusan yang dicapai sebulat suara oleh seluruh ahli Parlimen dari Kerajaan dan
Pembangkang dengan menafikan hak warga Malaysia yang sudah mencapai usia
18 tahun untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.


ABIM juga menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mendakwa rakyat Malaysia
yang berumur 18 tahun masih mentah dan belum bersedia untuk mengundi dalam
pilihan raya. Di kala mereka yang berusia 18 tahun sudah boleh berkerjaya,
menganggotai ketenteraan, berkahwin dan sebagainya seperti yang termaktub
dalam peruntukan undang-undang, adalah satu yang tidak masuk akal apabila ada
pihak yang mempersoal kematangan mereka untuk membuat pilihan demokrasi
dalam menentukan nasib negara.


Apabila mereka yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan untuk berkerjaya, sudah
pasti mereka termasuk dalam golongan yang berkelayakan untuk membayar cukai
kepada negara. Justeru, ia adalah satu tanggungjawab moral dan amanah untuk
mereka terlibat dalam memilih pemimpin negara sebagai ruang semak dan imbang
serta memantau kebertanggungjawaban kerajaan yang menguruskan wang cukai
yang dibayar mereka.

ABIM juga merujuk kepada data batchgeo.com yang menegaskan bahawa statistik
dunia hari ini menunjukkan 86% negara telah menurunkan umur mengundi kepada
18 tahun. Ini tidak termasuk negara jiran Indonesia dan Timur Leste yang
meletakkan had umur mengundi 17 tahun selain 16 negara lain di dunia yang
meletakkan had umur mengundi lebih muda iaitu 16 tahun.


Dalam perkembangan berkaitan, ABIM menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) untuk membentangkan kepada rakyat laporan perkembangan terkini
pelaksanaan had umur mengundi yang baharu agar seluruh rakyat khususnya anak
muda di Malaysia dapat memastikan mereka dibenarkan untuk mengundi dalam
Pilihan Raya Umum akan datang.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)