PELANGGARAN PRINSIP PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN & INSTITUSI BERAJA: ABIM GESA SELURUH ANGGOTA JEMAAH MENTERI AMBIL TANGGUNGJAWAB - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

PELANGGARAN PRINSIP PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN & INSTITUSI BERAJA: ABIM GESA SELURUH ANGGOTA JEMAAH MENTERI AMBIL TANGGUNGJAWAB

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di atas kenyataan tegas Istana Negara berhubung pelanggaran peruntukan Undang-Undang, Perlembagaan Persekutuan serta Institusi Istana oleh kerajaan Perikatan Nasional dalam pengendalian Ordinan Darurat yang kini menjadi isu besar dalam sidang parlimen.

ABIM berpendirian, seluruh rakyat harus mencermati penegasan Istana Negara ini
sebagai suatu yang secara jelas telah mengabsahkan bahawa kerajaan pimpinan
Tan Sri Mahiaddin Yassin mengabaikan prinsip demokrasi berparlimen dan tidak
menghormati sistem Raja Berperlembagaan.

Dalam masa sama, ABIM menegaskan bahawa seluruh anggota Jemaah Menteri
harus bertanggungjawab ke atas pelanggaran prinsip Raja Berperlembagaan dan
Demokrasi Berparlimen yang berlaku ini.

Ia selari dengan Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan prinsip
kebertanggungjawaban bersama atau “collective responsibility” di mana seluruh ahli
Jemaah Menteri wajib bertanggungjawab bersama atas segala keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan khususnya kepada Parlimen.

Menurut doktrin Ministerial Responsibility, terdapat beberapa prinsip “Duty to act with
unanimity
” yang bermaksud seluruh anggota Jemaah Menteri bertindak sebagai satu
suara kepada warga awam, Parlimen serta Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, ABIM menegaskan tindakan kerajaan yang menghina institusi Istana,
Dewan Rakyat, dan seluruh warga Malaysia yang menjunjung prinsip Rukunegara
sebagai teras dalam amalan bernegara, adalah tindakan seluruh anggota Jemaah
Menteri.

Oleh yang demikian, selain gesaan dengan tegas untuk Perdana Menteri berundur
secara terhormat dan bermaruah, ABIM menggesa seluruh anggota Jemaah Menteri
mengambil tanggungjawab ke atas pelanggaran prinsip Perlembagaan Persekutuan
untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan mengangkat kembali
prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan khususnya dalam
pengandalian Ordinan Darurat di Parlimen.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)