PENGHINAAN TERHADAP AGAMA ISLAM: ABIM SERU MASYARAKAT BOIKOT PRODUK PERANCIS
Tatkala masyarakat dunia sedang berhadapan dengan kesan ekonomi yang teruk akibat pandemik Covid-19, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa kekecewaan di atas kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang telah membuat dakwaan berunsur Islamofobia dengan berselindung di bawah kebebasan bersuara.
Kenyataan yang dibuat ketika beliau menghadiri majlis pengebumian Mendiang Samuel Paty, seorang guru sekolah menengah yang telah dibunuh selepas didakwa memaparkan kartun Charlie Hebdo (akhbar mingguan satira Perancis), yang merujuk sebagai Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam ketika mengendalikan subjek berkaitan kebebasan mengeluarkan pendapat.
Presiden Macron kemudiannya menggambarkan pembunuhan tersebut sebagai “serangan pengganas Islam yang tipikal (biasa dilakukan)”, tatkala memberi penekanan bahawa Perancis akan terus mempertahankan kartun Charlie Hebdo tersebut, meskipun ia diselubungi pelbagai kontroversi dan tidak sensitif terhadap masyarakat Islam.
Hal yang demikian, ABIM sebagai sebuah pertubuhan yang mempromosikan keharmonian beragama, mengecam pembunuhan kejam ke atas Samuel Party dan dalam pada masa yang sama, mengkritik sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Presiden Perancis tersebut.
Sesungguhnya, ABIM percaya bahawa sensitiviti keagamaan seharusnya dihormati di mana kepelbagaian agama seharusnya membawa kepada keharmonian dan perpaduan, dan bukannya menimbulkan konflik sesama manusia.
Memandangkan Presiden Macron enggan menarik balik ucapannya yang penuh dengan kebencian, umat Islam di seluruh dunia diseru untuk memboikot produk-produk keluaran Perancis dan ABIM menggesa umat Islam di Malaysia untuk turut bersama kami dalam kempen boikot ini.
Presiden Macron mendakwa bahawa beliau merupakan pendukung kebebasan bersuara. Hal yang demikian, beliau sewajarnya tahu bahawa kebebasan bersuara itu tidak pernah dan tidak mungkin bersifat mutlak, dan kebebasan ini datang dengan tanggungjawab terhadap apa yang diperkatakan dan akibat daripadanya. Ketika mengamalkan kebebasan, individu lain harus menjaga batas tertentu supaya ia tidak pula menceroboh kebebasan pihak lain.
Dari perspektif global, hidup bersama dalam budaya damai di antara penganut agama yang berbeza adalah penting dalam memupuk masyarakat yang produktif serta membina sebuah negara yang maju. Justeru, ABIM ingin menegaskan kepentingan dialog keagamaan di antara kumpulan agama belia untuk mempromosikan keharmonian yang mapan dan aman.
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)