PKP 3.0 : ABIM GESA KERAJAAN LAKSANA KEMBALI MORATORIUM, SUBSIDI UPAH DAN JAMIN KESEDIAAN KOMPUTER RIBA UNTUK PELAJAR SEKOLAH - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

PKP 3.0 : ABIM GESA KERAJAAN LAKSANA KEMBALI MORATORIUM, SUBSIDI UPAH DAN JAMIN KESEDIAAN KOMPUTER RIBA UNTUK PELAJAR SEKOLAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa bermula 12 Mei sehingga 7 Jun
2021.


ABIM memandang berat kesan pelaksanaan PKP terhadap kehidupan serta
ekonomi rakyat. Justeru ABIM ingin mengemukakan gesaan seperti berikut:


1) Menggesa moratorium automatik khususnya untuk pinjaman pembelian
kereta dan rumah untuk meredakan keresahan rakyat.


Moratorium secara automatik ini penting untuk memperbaiki dan
menstabilkan semula kewangan rakyat yang semakin terhimpit sejak tahun
lalu dan akan bertambah merosot susulan pengumuman PKP terkini.


Pemberian moratorium hanya bersifat sementara dan para peminjam akan
mula membayar kembali pinjaman apabila aktiviti ekonomi kembali pulih
seperti sedia kala.

2) ABIM juga menggesa subsidi upah diberi kepada para majikan khususnya
yang terhenti kegiatan ekonominya. Subsidi upah ini penting untuk majikan serta para peniaga kecil memenuhi komitmen gaji bulanan untuk pekerja-pekerja mereka.

Ini sedikit sebanyak membolehkan mereka memenuhi keperluan asasi para pekerja mereka.

3) ABIM menggesa skim penyediaan komputer riba dalam kalangan murid untuk
mengatasi kesenjangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di rumah
(PdPR) diagihkan segera khususnya dalam kalangan murid
berlatarbelakangkan B40.


Komitmen ini penting untuk mengelakkan situasi kemiskinan digital yang
boleh menjejaskan akses kepada pendidikan bermutu apa lagi Dasar
Pendidikan Digital telah pun diumumkan YAB Perdana Menteri pada Mac lalu.

Muhammad Faisal Abdul Aziz,
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

#ABIMdiHatiku