POLEMIK PERAYAAN PONGGAL: ABIM SERU WARGA SALING MENGHORMATI - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

POLEMIK PERAYAAN PONGGAL: ABIM SERU WARGA SALING MENGHORMATI

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan keprihatinan kami terhadap polemik isu
perayaan Pongal yang menjadi perbualan dan tular dalam kalangan masyarakat mutakhir ini.
Kami merujuk kepada maklum balas masyarakat terhadap surat pekeliling yang diedarkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 13 Januari 2020 berhubung garis panduan
kepada warga sekolah beragama Islam berhubung perayaan Pesta Pongal.


Pekeliling tersebut adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Panel Pakar Syariah Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kali ke-100 pada 8 dan 9 April tahun lalu. Pekeliling itu
turut menggariskan beberapa syarat yang digariskan oleh JAKIM seandainya orang Islam perlu
hadir Pesta Pongal dengan alasan tertentu.


Dalam perkembangan sama, ABIM merujuk tulisan Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus
Samahah berkaitan isu “Muslim Menyertai Pesta Pongal (rujuk http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/3062-al-afkar-39-muslim-menyertai-pesta-pongal) yang telah diterbitkan pada 29 Januari 2019. Polemik lain yang berkaitan penyertaan Muslim dengan perayaan agama lain atau yang terkait seperti isu penghiasan tanglung di
sekolah sempena Tahun Baharu Cina dan sebagainya, adalah juga dirujuk.


ABIM berpendirian bahawa isu ini adalah suatu perkara yang tidak perlu diperpanjang atas
kesedaran bahawa garis panduan yang berkaitan dengannya adalah jelas dan mesti dihormati,
khasnya bagi mesyarakat beragama Islam, dan juga institusi awam.


Walaupun begitu, tanpa menafikan kepentingan saling mengenali dan memahami dalam
konteks silang-budaya dan multi-budaya di Malaysia, ABIM bersetuju bahawa informasi
tentang kebudayaan masyarakat berbilang kaum wajar diketengahkan kepada warga seluruhnya
bagi memanifestasikan semangat “taayyush” (co-existence).

Sebagaimana disarankan pihak otoriti termasuk saranan JAKIM dan Mufti Wilayah
Persekutuan, sekiranya seseorang Muslim perlu menghadiri acara berkaitan program
keagamaan, maka wajarlah untuk mematuhi garis panduan khasnya dengan tidak melibatkan
diri dalam sebarang upacara berbentuk ritual keagamaan.


Khususnya dalam kalangan pemimpin, menghadiri undangan sebagai tanda penghormatan kepada warga yang dipimpin adalah suatu yang tidak terelakkan. Sifat toleransi serta bertolak-ansur antara pemimpin dan rakyat ini akan menjadi satu simbol penyatuan yang utuh dalam membangun sebuah negara yang aman dan harmoni. Namun begitu, batas-batas agama adalah wajar untuk tidak dilangkaui.


ABIM menegaskan bahawa warga Malaysia perlu sentiasa menghargai kepelbagaian yang
merupakan suatu “sunnatullah” dan juga realiti yang perlu kita santuni dan tanggapi sebaiknya,
namun perlu menjaga sensitiviti tertentu khasnya dalam aspek keagamaan. Dalam masa yang
sama, ABIM meyakini bahawa institusi awam khususnya institusi pendidikan wajar dan wajib
menjadi ruang sosialisasi untuk memupuk perpaduan dan semangat cintakan negara dalam
kalangan warganegara sejak di bangku sekolah lagi.


ABIM sekali lagi menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan warga adalah suatu yang tidak
ternilai dan perlu dicermati sebaiknya. Budaya penerimaan, penghormatan dan dialog dalam
kalangan warga adalah penting dan perlu dibudayakan, berbanding terus-menerus
membangkitkan polemik yang tidak berkesudahan dan merugikan.


ABIM merupakan pendukung kepada usaha perpaduan, dengan berpegang teguh kepada tiga
asas sebagaimana digariskan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK): 1) berteraskan
kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini; 2) unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar
diterima; dan 3) Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan
kebangsaan.

“MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN”

MOHAMMAD FAZRIL BIN MOHD SALEH
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)