SALAHLAKU GANGGUAN SEKSUAL HARUS DIBERI PERHATIAN SERIUS OLEH SEMUA LAPISAN MASYARAKAT
- HELWA ABIM merujuk isu gangguan seksual oleh pegawai PDRM semasa sekatan
jalan raya yang telah dilaporkan beberapa hari yang lepas. PDRM telah mengeluarkan
kenyataan menarik balik tugas dua anggota mereka yang disyaki terlibat dengan salah
laku tersebut dan kini dalam peringkat siasatan. Tindakan oleh PDRM ini adalah tepat
dan kita mengharapkan siasatan yang telus dan adil terhadap mangsa dan pemangsa. - Laporan dan kejadian sebegini sering berlaku dalam persekitaran masyarakat kita, sama
ada ia berlaku di tempat awam, di tempat kerja, melibatkan institusi awam mahupun
swasta. Perbuatan suka-suka atau sekadar bergurau adalah alasan yang sangat lemah dan
tidak boleh diterima dalam konteks gangguan seksual terhadap seseorang. Setiap pekerja
mesti mengamalkan sikap profesional serta mematuhi etika di tempat kerja. Sikap saling
hormat-menghormati dan beradab sopan mesti diamalkan oleh setiap anggota masyarakat
dalam kehidupan seharian, termasuklah ketika berada di tempat awam bagi mengelakkan
diri kita dan orang lain dari menjadi mangsa mahupun pelaku gangguan seksual. - HELWA ABIM menegaskan gangguan seksual adalah perbuatan tidak bermoral dan ia
wajib dihindari dalam sebarang aktiviti mahupun perbuatan. Gangguan seksual boleh
berlaku melalui kata-kata, isyarat, sentuhan, dalam bentuk psikologi atau visual yang
berunsurkan seks. Kita mesti berusaha menjadi individu yang bermoral tinggi dan
mendidik generasi muda untuk berkelakuan sopan, saling menghormati tanpa mengira
jantina, bangsa dan agama. Gurauan bersifat murahan dan merendahkan maruah wajib
dibanteras dan tidak menjadi normalisasi dalam masyarakat. - RUU Gangguan Seksual adalah mekanisme yang terbaik dalam usaha menangani isu
salahlaku gangguan seksual dengan memberi perlindungan serta keadilan sewajarnya
kepada mangsa dan juga pemangsa. Sebanyak 17,500++ tandatangan elektronik telah
berjaya dikumpulkan oleh AWAM pada November 2020 bagi petisyen menyokong
pembentangan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual di parlimen. Oleh itu, pihak
kerajaan terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(KPWKM) harus turut bertanggungjawab menangani isu gangguan seksual dengan
mendesak agar memberi keutamaan kepada RUU Gangguan Seksual, dan menetapkan
garis masa yang realistik serta munasabah untuk dibentangkan, dibahaskan dan
diluluskan dalam sidang parlimen akan datang. - HELWA ABIM menggesa semua pihak termasuk pihak majikan, pimpinan organisasi,
pentadbir sekolah dan orang awam memainkan peranan dalam memberikan kesedaran, pendidikan dan advokasi terhadap isu gangguan seksual ini. Ia perlu disebarluaskan agar seluruh rakyat Malaysia faham dan bersedia dengan implikasi RUU Gangguan Seksual ini.
- HELWA ABIM juga bersedia dan komited untuk menjalankan program-program
pendidikan dan kesedaran berkaitan isu gangguan seksual kepada semua peringkat
masyarakat di seluruh negara khususnya di bawah agenda ‘Pemberdayaan Wanita dan
Keluarga’ yang membawa misi membina dan memimpin generasi.
FATIN NUR MAJDINA NORDIN
NAIB PRESIDEN ABIM (HAL EHWAL WANITA – HELWA)