SERANGAN KE ATAS MUSLIM DI DELHI: ABIM SELAR SIKAP KERAJAAN INDIA - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

SERANGAN KE ATAS MUSLIM DI DELHI: ABIM SELAR SIKAP KERAJAAN INDIA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan pendirian kami menyelar Kerajaan India
yang berdiam diri dan gagal mengawal rusuhan yang berlaku di Delhi, baru-baru ini. Kami
melihat situasi genting ini sebagai suatu “kegagalan” kerajaan India dalam melindungi
keselamatan warganya sendiri.


Pihak berkuasa gagal mengawal perusuh pelampau agama daripada mensasarkan serangan
terhadap penempatan orang-orang Islam dan rumah ibadat sehingga menyebabkan lebih 30
orang terbunuh manakala tidak kurang daripada 200 orang cedera dalam insiden berdarah
sehingga kini.


Malah, lebih malang lagi sekiranya terdapat bukti penindasan terancang dilakukan oleh pihak
kerajaan sendiri, sebagaimana maklumat yang tersebar dalam laporan media yang pelbagai.
Oleh yang demikian, kerajaan India harus tampil membetulkan persepsi ini dengan cara
berusaha sebaik mungkin melindungi orang-orang Islam India yang diancam.


Mana mungkin India sebagai sebuah negara dengan kekuatan sumber manusia dan kapasiti
yang besar tidak mampu melindungi warganya, ataupun mereka yang berada di dalam
negaranya sendiri. Tidak mungkin sistem jaringan keselamatan India terlalu lemah dan rapuh
sehingga memungkinkan pertumpahan darah ini berlaku.


ABIM juga konsisten dengan pendirian kami membantah rang undang-undang baharu
berkaitan kewarganegaraan yang jelas menindas kelompok tertentu masyarakat dalam negara
India sendiri. Malah, para politikus daripada parti BJP antara lain Kapil Mishra, Anurag Thakur, Abhay Verma dan Parvesh Verma yang mencetuskan ketegangan dengan ucapan- ucapan kebencian memburukkan lagi keadaan.

Keadaan ini jelas berbahaya kepada negara India sendiri sebagaimana diungkap oleh Hakim
Mahkamah Tinggi Delhi S. Muralidhar dalam sesi pendengaran berhubung punca ketegangan
yang berlaku. Beliau kini berdepan tindakan pertukaran oleh pihak kerajaan, sebagai akibat
daripada pendirian penghakiman beliau yang tegas atas ketidakadilan yang berlaku.
Dalam perkembangan sama, ABIM menyokong tindakan para mahasiswa dan belia di India
yang prihatin dengan keadaan ini, secara konsisten dan berterusan memberikan tekanan
kepada kerajaan India melalui siri-siri protes dan unjuk rasa di seluruh India, walaupun
sebelumnya mereka berdepan dengan layanan buruk oleh pihak berkuasa menyebabkan
berlakunya kematian dan cedera parah.


ABIM juga menyeru komuniti dunia agar memberi tekanan kepada Kerajaan India agar mereka
menghentikan polemik perundangan yang menzalimi warganya di samping berhenti
membiarkan rusuhan berlaku dalam kalangan masyarakatnya. Perdana Menteri Interim
Malaysia YAB Tun Dr Mahathir Mohamad juga digesa untuk menyatakan pendirian dalam isu
global ini.

“MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN”

MOHAMMAD FAZRIL BIN MOHD SALEH
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)