TIBA MASANYA SYARAT PENSIJILAN HALAL DIMASUKKAN KRITERIA MESRA ALAM SEKITAR - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

TIBA MASANYA SYARAT PENSIJILAN HALAL DIMASUKKAN KRITERIA MESRA ALAM SEKITAR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama gabungan NGO antarabangsa
sering memandang berat situasi perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar yang
semakin meruncing di dunia.


Situasi ini mendesak tindakan konkrit dilaksanakan semua pihak yang perlu sentiasa
mengambil inisiatif untuk memelihara kualiti alam sekitar.


Antara yang sedang digerakkan pada peringkat akar umbi termasuklah usaha ABIM
atas platform Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN) meluncurkan
kempen “Memusnahkan Bumi Berlawanan Dengan Agama Saya“. Kempen ini
adalah medan untuk mendidik masyarakat beragama memelihara alam sekitar.
Sebagai kesinambungan daripada kempen ini, ABIM menyarankan badan berautoriti
di Malaysia seperti Jabatan Agama Islam dan badan-badan bertauliah seluruh dunia
untuk memasukkan elemen mesra alam sekitar sebagai antara kriteria syarat
kepada pensijilan halal.


Tindakan ini secara tidak langsung akan meluaskan lagi makna “halal dan baik”
yang lebih dikenali sebagai halalan toyyiban dengan mewujudkan rasa cakna atau
kepekaan masyarakat terhadap usaha memelihara kelestarian serta masa depan
bumi.


Sebagai lanjutan, inisiatif ini akan dapat menjamin kelestarian sumber makanan
yang halal dan baik bila mana bumi dan hasilnya dapat dipelihara sebaiknya dari
dimusnahkan oleh aktiviti-aktiviti yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, ia juga akan menjadi asas permulaan untuk mendidik sikap masyarakat
khususnya golongan Muslim untuk memandang serius perubahan iklim dan
pemeliharaan alam sekitar lebih-lebih lagi dalam bidang kepenggunaan.


Cadangan ini selari dengan Prinsip ke-17 Matlamat Pembangunan Mapan
(Sustainable Development Growth) bagi menggalakkan lagi kerjasama untuk
membangunkan industri yang menyokong usaha pembangunan lestari dan
pemeliharaan alam sekitar.


ABIM amat optimistik, Malaysia sebagai pusat hub halal untuk dunia boleh menjadi
perintis penting dalam membawa piawaian halal dunia yang lebih baik bersama
semangat menjaga kelestarian alam.


ABIM menegaskan inisiatif ini adalah salah satu agenda besar untuk memenuhi
tanggungjawab kita sebagai Khalifah di muka bumi yang bertanggungjawab
memakmurkan bumi ini untuk perkongsian secara inklusif manfaatnya untuk seluruh
manusia sejagat.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) & Penyelaras
Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN)