Undi 18: Jangan Salahkan Anak Muda Jika Semakin Menjauhi Politik - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Undi 18: Jangan Salahkan Anak Muda Jika Semakin Menjauhi Politik

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memantau perkembangan semasa berhubung
dasar untuk membuka ruang yang lebih luas untuk anak muda berpartisipasi dalam
sistem demokrasi negara. ABIM mendapati seolah tiada penumpuan yang serius pihak
bertanggungjawab berkenaan agenda untuk meluaskan lagi ruang demokrasi kepada
anak muda khususnya warga yang bersia 18 tahun ke atas.

Ini termasuklah kebenaran untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas untuk
mengundi seharusnya ditangani secara serius agar pelaksanaannya dapat dilakukan
segera untuk pilihan raya umum akan datang kerana keputusan meminda Perkara 119
(1) (a) Perlembagaan Persekutuan tersebut telah dipersetujui oleh semua ahli Parlimen
yang hadir.

Lebih malang lagi, terdapat segelintir pemimpin politik yang secara tiba-tiba sinis dan
memperlekeh kemampuan anak muda membuat keputusan memangkah kertas undi
dengan pelbagai tohmahan dilemparkan seperti belum matang dan mentah.

ABIM ingin menekankan dalam beberapa siri wacana dan libat urus berkaitan
pendidikan demokrasi yang dijalankan kepada pelajar sekolah menengah atasan dan
mereka yang berusia 18 ke atas, kami mendapati majoriti besar dari mereka sudah bersedia serta bijak untuk membuat pilihan memilih wakil rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, merujuk kepada data batchgeo.com telah menunjukkan bahawa statistik
dunia hari ini menunjukkan 86 peratus negara telah menurunkan umur mengundi
kepada 18 tahun. Ini tidak termasuk negara jiran Indonesia dan Timur Leste yang
meletakkan had umur mengundi 17 tahun selain 16 negara lain di dunia yang
meletakkan had umur mengundi lebih muda iaitu 16 tahun.

Justeru, adalah satu tanggungjawab moral dan amanah untuk mereka terbabit untuk
menyegerakan dasar undi 18 sebagai ruang anak muda untuk berperanan dalam
sistem semak dan imbang serta memantau kebertanggungjawaban kerajaan.

ABIM menegaskan ketidakseriusan pihak berwajib melaksanakan dasar yang
meluaskan ruang demokrasi anak muda termasuk kenyataan-kenyataan sinis segelintir
pemimpin politik ini secara tidak langsung akan menjauhkan lagi anak muda dari jalur
politik sebagai salah satu mekanisme untuk menyumbang kepada pembangunan dan
kemakmuran negara.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

#Undi18 #Undi18Now