WUJUDKAN SALURAN KHAS TV PENDIDIKAN UNTUK BANTU PELAJAR & IBU BAPA - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

WUJUDKAN SALURAN KHAS TV PENDIDIKAN UNTUK BANTU PELAJAR & IBU BAPA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik Kenyataan Media YB
Menteri Kanan Pendidikan, YB Dr. Mohd Radzi Md Jidin pada 22 Januari 2021
berkaitan tindakan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah
mewujudkan kembali TV Pendidikan yang disiarkan di televisyen konvensional
bermula 6 April 2020. YB Menteri menyatakan TV Pendidikan bersiaran selama 9
jam sehari, iaitu 2 jam di TV Okey (RTM), 4 jam di Astro Tutor TV (ASTRO), dan 3
jam di NTV7.


Walau bagaimanapun, ABIM berpandangan siaran melalui TV Pendidikan perlu
diperbanyakkan dan diperkasakan khususnya pada stesyen penyiaran yang bersifat
umum dan percuma.


Ini kerana berdasarakan kenyataan tersebut, pada waktu ini, siaran di televisyen
percuma hanya sejumlah 5 jam, iaitu di RTM dan NTV7.


ABIM mencadangkan agar saluran khas TV Pendidikan yang ditamatkan pada 1
Januari 2009 perlu diwujudkan semula dengan kandungan yang lebih segar dan
memenuhi keperluan masa kini yang amat mendesak.


Memandangkan pewujudan semula saluran khas TV Pendidikan tidak dimasukkan
dalam intipati utama Belanjawan 2021, ABIM memohon pihak kerajaan dapat
menyediakan Pakej Tambahan Khas untuk tujuan ini.


Ini akan memberi manfaat kepada 37% murid atau sebanyak 1.7 juta murid yang
tidak mempunyai peranti digital seperti laptop, tablet atau komputer bagi
pembelajaran dalam talian, yang diistilahkan sebagai ‘miskin digital’, khususnya di
Sabah dan Sarawak.


Kenyataan pakar ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram bahawa 90% murid tidak
mempunyai peranti digital termasuk rangkaian internet amat membimbangkan.


ABIM turut mendesak agar program rintis pemilikan komputer riba yang diluluskan
dalam Belanjawan 2021 kepada 150,000 murid juga perlu disegerakan.

Selain itu, ABIM menegaskan bahawa siaran di saluran TV Pendidikan perlulah
membantu guru dan ibu bapa menguruskan PdPR secara bersistematik mengikut
Penjajaran kurikulum KSSR (Semakan 2017) dan KSSM 2.0 yang baru dikeluarkan
pada 2021 oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).


ABIM mencadangkan agar siaran yang diadakan setiap hari perlu disusun mengikut
tahap umur dan kandungan yang berperingkat berdasarkan Rancangan Pengajaran
Tahunan (RPT) yang digubal secara umum. Ini bagi membolehkan murid bagi setiap
peringkat umur dari darjah 1 sehingga ke tingkatan 5 mendapat pengajaran melalui
siaran pada waktu-waktu yang telah ditetapkan pada setiap hari.


Seterusnya, RPT dan jadual siaran mengikut peringkat umur ini dimaklumkan
kepada setiap sekolah dan secara umum kepada masyarakat awam melalui portal
media kementerian.


Ini membolehkan pihak sekolah membuat tindak susul daripada pengajaran di siaran
televisyen kepada bentuk tugasan seterusnya.


ABIM berpandangan hal ini dapat disegerakan memandangkan pihak KPM telah pun
mempunyai pelbagai sumber video pengajaran daripada portal sedia ada seperti
EduwebTV dan Cikgootube, yang mana hanya perlu dipilih dan disusun untuk siaran
di peringkat televisyen awam.


Selain itu, medium tv pendidikan ini akan dapat membantu para guru, ibu bapa dan
murid bagi melengkapkan ekosistem home-based learning melalui PdPR yang menggunakan pendekatan dalam talian (on-line), luar talian (off-line) dan luar-kawasan (off-site) secara optimum.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)