Waspada Jerat Cinta Muka Buku!: Fadhlina Siddiq - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Waspada Jerat Cinta Muka Buku!: Fadhlina Siddiq

21 Mei 2012 – Naib Presiden HELWA ABIM, Puan Fadhlina Dato’ Dr Siddiq telah dijemput selaku salah seorang panelis untuk mengisi slot Forum Perdana: Cinta Muka Buku Realiti atau Fantasi pada 16 Mei yang lalu. Forum ini dianjurkan sempena Karnival Mesra Belia Peringkat Negeri Melaka, yang merupakan rentetan daripada penganjuran Hari Belia Kebangsaan pada ketika ini.

Selaku panelis, Puan Fadhlina menasihatkan agar memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat selaku medium dakwah dan interaksi pertukaran maklumat antara satu sama lain.

”Para remaja seharusnya mengelakkan diri dari terjebak dalam budaya fitnah atau mengadu domba yang sering dikaitkan dalam laman sosial seperti FB. Pelihara akhlaq serta kehormatan diri (aurat) mereka memaparkan status ataupun gambar yang tidak senonoh serta mendedahkan aurat,” jelas beliau.

Di penghujung forum ini, beliau menasihatkan para remaja serta gadis agar berhati-hati serta mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan laman-laman sosial.

”Kejujuran serta keterlusan maklumat yang dipaparkan menerusi laman sosial seperti Facebook perlu dicermati untuk mengelakkan diri dari terjerat dalam situasi yang merugikan masa depan mereka kelak.”