11 November 1980 – 11 November 2025

Empat puluh lima tahun yang lalu, pada 11 November 1980, satu detik bersejarah dalam dakwah Islam tercatat di Kuala Lumpur dengan tertubuhnya Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP – Regional Islamic Da’wah Council for Southeast Asia and the Pacific).
Penubuhan RISEAP merupakan hasil gagasan kerjasama berwawasan antara 17 buah negara sebahagian besarnya terdiri daripada negara minoriti Muslim seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Myanmar, Thailand, Filipina, Papua New Guinea, Australia, Fiji, dan New Zealand, manakala Malaysia, Indonesia dan Brunei mewakili negara majoriti Islam.
Asal Usul dan Makna di Sebalik Nama
Pada peringkat awal, pertubuhan ini dikenali dengan akronim SEAPIC (Southeast Asia and Pacific Islamic Council). Namun para perwakilan menyuarakan kebimbangan kerana sebutan “SEAPIC” kedengaran seperti “sea pig”, yang dianggap tidak sesuai digunakan bagi sebuah pertubuhan Islam untuk jangka panjang.
Lantaran itu, satu nama baharu yang lebih bermakna dicadangkan ialah RISEAP, disebut sebagai “rise up”, melambangkan seruan kebangkitan umat Islam untuk berdiri bersama-sama menghadapi cabaran zamannya.
Nama ini bukan sekadar perubahan linguistik, tetapi membawa makna mendalam tentang kebangkitan dan pembaharuan (an-nahdah) dengan satu tekad bahawa umat Islam minoriti di rantau ini perlu berdikari, membina institusi sendiri, serta menyumbang kepada keamanan global berteraskan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin.
Empat Dekad Perjuangan dan Kepimpinan Baharu
Menjelang lima dekad penubuhannya, RISEAP kekal teguh sebagai platform kerjasama dakwah antarabangsa yang amat dihormati.
Dalam Perhimpunan Agung RISEAP di Phnom Penh, Kemboja, pada Disember tahun lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sekali lagi diberi kepercayaan oleh para perwakilan dan delegasi apabila Presidennya telah dipilih semula sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) RISEAP.

Kini, RISEAP dipimpin oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, yang mengambil alih kepimpinan daripada Almarhum TYT Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Presiden RISEAP yang telah memimpin organissi ini sejak 1988.
Pasukan kepimpinan turut merangkumi Timbalan Presiden Ridzuan Wu (Singapura), YBhg Dato’ Dr Hj Mohamad Marzuki Mohamad Omar (Malaysia) sebagai Setiausaha Agung, empat orang Naib Presiden yang mewakili Thailand, Korea dan Australia, serta Naib Presiden Wanita YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, di samping Ahli Jawatankuasa Eksekutif daripada 24 negara anggota dan 52 pertubuhan Islam gabungan.
Menariknya, Presiden dan Setiausaha Agung RISEAP kini juga masing-masing merupakan Yang Dipertua Kebangsaan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Hubungan erat ini memperkukuh jalinan institusi antara RISEAP dan PERKIM, dua entiti penting yang menjadi teras gerakan dakwah Islam di rantau ini selama beberapa dekad.
RISEAP dan PERKIM: Misi Dakwah yang Seiring
RISEAP dan PERKIM berkongsi akar sejarah dan matlamat yang saling melengkapi.
PERKIM, yang diasaskan pada tahun 1960 oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pertama Malaysia, memainkan peranan besar dalam memperkasa saudara baharu dan memperkukuh kefahaman Islam dalam negara dan rantau ini.
RISEAP, yang lahir dua dekad kemudian hasil ilham daripada pengalaman PERKIM, memperluas misi tersebut ke peringkat antarabangsa dengan menghubungkan pertubuhan-pertubuhan Islam minoriti di Asia Tenggara dan Pasifik di bawah panji solidariti dakwah.
Kedua-duanya berkongsi aspirasi untuk menyebarkan mesej keamanan Islam, mempertahankan hak umat Islam minoriti, serta memupuk keharmonian antara agama dan budaya. Sinergi ini terus diperkukuh melalui program latihan kepimpinan, bantuan kemanusiaan, pendidikan, dan forum dakwah serantau yang dianjurkan bersama.
Mesyuarat Exco ke-36 di Seoul, Korea
Sambutan ulang tahun ke-45 ini menjadi lebih bermakna apabila Mesyuarat Exco RISEAP ke-36 diadakan di The Plaza Hotel, Seoul, dengan Korea Muslim Federation (KMF) sebagai tuan rumah rasmi.
Pertemuan ini turut diserikan dengan kehadiran Presiden Riseap dan Exco ke Majlis Perasmian Masjid Seoul selepas kerja penambahbaikan, perasmian bangunan tambahan KMF, serta pelancaran Tadika Putera Sultan bin Abdulaziz, yang akan menempatkan pelajar-pelajar Muslim Korea sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan Islam peringkat awal di negara minoriti Muslim itu.
Lebih istimewa, Presiden RISEAP, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari, turut dikurniakan Anugerah The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Kerajaan Jepun pada 11 November, satu pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Jepun serta komitmen terhadap keamanan dan keharmonian antara budaya, seiring dengan nilai perjuangan RISEAP.
Malaysia dan Korea: Legasi Persahabatan Islam
Hubungan Malaysia dan Korea dalam pembangunan Islam telah terjalin sejak awal 1960-an apabila tokoh-tokoh Malaysia seperti Dato Muhamad Noah Omar dan Tunku Abdul Rahman memberi sokongan moral dan material terhadap penubuhan institusi Islam pertama di Korea.
Semangat solidariti tersebut terus subur hari ini melalui RISEAP dan KMF yang menjadi jambatan ukhuwah Islamiah dan kerjasama rantau Timur. Sumbangan berterusan Malaysia amat penting dalam pertumbuhan komuniti Muslim Korea yang kini berjumlah lebih 250,000 orang, dengan 24 buah masjid dan 260 musalla di seluruh negara. Melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), KMF kini diiktiraf sebagai badan pensijilan halal antarabangsa, melambangkan jalinan erat Malaysia–Korea dalam pembangunan institusi Islam dan nilai sejagat.
Pendidikan dan Dakwah: Asas yang Terkuat
Pendidikan sentiasa menjadi alat dakwah paling berkesan. Seperti ditegaskan oleh Dr Hussein Kim, Presiden KMF, usaha sedang dijalankan untuk memperkembangkan Pusat Dakwah Putera Sultan bin Abdul Aziz kepada sebuah institusi pendidikan Islam formal iaitu Sekolah Antarabangsa Hannam yang menawarkan pendidikan menyeluruh dari peringkat tadika hingga sekolah menengah berteraskan identiti Islam.
Usaha ini menzahirkan teras kelima dan keenam RISEAP, bahawa pendidikan bukan sekadar penyampaian ilmu, tetapi pembinaan akhlak, iman dan jati diri Muslim dalam konteks masyarakat minoriti.
Dalam ucapannya, Presiden RISEAP YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari menegaskan bahawa pendidikan dan pembangunan modal insan mesti menjadi teras kepada segala usaha dakwah. Beliau menekankan bahawa memperkasa masyarakat Islam minoriti melalui akses kepada pendidikan berkualiti bukan sahaja mampu mengangkat martabat mereka, malah memperkukuh keyakinan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat sekeliling.
Selaras dengan itu, Kerajaan Sarawak, di bawah kepimpinan beliau, telah membuka peluang pendidikan dan biasiswa kepada pelajar dari negara anggota RISEAP, khususnya dari negara minoriti Muslim, bagi melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia. Langkah ini merupakan manifestasi solidariti nyata dalamn menjadikan visi RISEAP satu kenyataan melalui pembinaan kapasiti dan ilmu.
Enam Teras Perjuangan RISEAP
Dalam tempoh 45 tahun, RISEAP kekal konsisten melaksanakan visinya memperkasa gerakan Islam di Asia Tenggara dan Pasifik. Hala tuju strategiknya berpaksikan kepada enam teras utama:
1. Pembangunan masjid dan pusat komuniti Islam di kawasan minoriti Muslim.
2. Pemerkasaan pensijilan halal dan ekosistem ekonomi Islam, termasuk pelancongan mesra Muslim.
3. Program inter-faith dan komuniti lintas agama bagi memperkenalkan Islam sebagai agama rahmah dan keamanan.
4. Pemantapan badan gabungan agar lebih berdikari dari sudut ekonomi dan kewangan.
5. Penyelarasan pendidikan Islam dan kandungan dakwah yang kontekstual dan inklusif.
6. Pembangunan kepimpinan muda (youth leadership) bagi kesinambungan perjuangan Islam di masa depan.
Belia, Dialog Antara Agama dan Tadbir Urus Islam
Selaras dengan enam teras utama RISEAP, khususnya Teras Ketiga (interfaith dan keterlibatan komuniti) serta Teras Keenam (pembangunan kepimpinan muda), ABIM bersama organisasi anggota RISEAP lain akan menganjurkan Perhimpunan Belia Muslim dan Pertukaran Belia Antara Agama (The Muslim Youth Gathering and Inter-Faith Youth Exchange) sebagai sebuah inisiatif serantau untuk memupuk dialog, kefahaman dan kerjasama dalam kalangan pemimpin muda pelbagai agama dan budaya.
Selain itu, RISEAP dan rakan-rakan strategiknya turut merancang untuk menghidupkan kembali tradisi Islam dalam konsep tadbīr (tadbir urus yang berteraskan hikmah) melalui pengalaman masyarakat Islam minoriti dalam menelusuri prinsip keadilan, ketelusan dan daya tahan institusi dalam masyarakat majmuk moden. Inisiatif ini akan memperkenalkan model institusi Islam yang berjaya, menonjolkan amalan terbaik komuniti, serta menghasilkan saranan praktikal dan kontekstual bagi pembangunan masyarakat Islam minoriti.
Sesi ini juga akan berperanan sebagai acara kemuncak dalam penganjuran Forum Global Komuniti Minoriti Muslim (Global Muslim Minority Forum – GMMF) 2026, di mana dapatan dan pandangan dari rantau ini akan dibentangkan untuk advokasi antarabangsa, mewakili suara dan aspirasi komuniti Muslim Asia Tenggara dan Pasifik.
Usaha-usaha ini menggambarkan visi kekal RISEAP dalam membina generasi pemimpin yang menjadikan iman sebagai jambatan, bukan sempadan, dalam membina masa depan bersama yang penuh kasih dan kemajuan.
Kesinambungan dan Harapan
Perjalanan 45 tahun RISEAP adalah kisah ketabahan umat Islam minoriti, ukhuwah tanpa sempadan, dan kebangkitan Islam dalam wajah kemanusiaan sejagat.
Dalam dunia yang kian kompleks, semangat asal “rise up” diharapkan untuk kekal relevan khususnya dalam menyeru umat Islam untuk bangkit dengan ilmu, hikmah dan rahmah.
Bagi pihak ABIM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan dan pertubuhan gabungan yang terus mempercayai RISEAP untuk meneruskan peranan dakwah di pentas global. Kami sentiasa terbuka terhadap cadangan, kerjasama dan inisiatif baharu yang dapat memperkukuh jaringan solidariti Islam serantau.
Selamat Ulang Tahun ke-45, RISEAP.
Semoga terus menjadi jambatan dakwah, persahabatan dan kemanusiaan di persada dunia.
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden, ABIM
Ahli Jawatankuasa Eksekutif, RISEAP
