Kemuliaan Akhlak Jadi Kunci Penyatuan dan Kemenangan Umat Islam
KUALA LUMPUR, 24 Disember 2025 — Akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW merupakan faktor utama yang mampu menyatukan umat Islam serta membawa kepada kejayaan dan kemenangan umat, demikian ditegaskan oleh Al-Syaikh Dr. Khaleel Ismail Elias Al-Iraqi dalam satu syarahan di Masjid Jamek Kampung Baru.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ”Akhlak Nabi dan Kepimpinan Rabbani Dalam Masyarakat”.
Menurut beliau, Nabi Muhammad SAW membuktikan bahawa penyatuan umat bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal, strategi politik atau kelebihan material, sebaliknya berpaksikan kemuliaan akhlak. Akhlak yang luhur, jelasnya, berperanan besar kerana ia berkait rapat dengan emosi dan persepsi manusia, yang seterusnya membentuk hubungan sosial serta keharmonian dalam masyarakat.
“Perkara yang berkaitan dengan emosi dan persepsi manusia bukan mudah untuk diurus, apatah lagi untuk menyatukan kelompok yang berbeza latar belakang, pandangan dan kepentingan. Namun Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa ia boleh dilakukan melalui akhlak yang mulia,” ujar beliau.
Dr. Khaleel menjelaskan bahawa pendekatan Nabi SAW yang penuh hikmah, sabar, berlemah lembut serta adil telah berjaya menarik hati manusia, termasuk mereka yang pada awalnya menentang Islam. Akhlak inilah yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah umat yang bersatu, kukuh dan berdaya tahan menghadapi cabaran.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan umat Islam pada masa kini sangat bergantung kepada sejauh mana mereka mencontohi akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian, sama ada di peringkat individu, keluarga mahupun masyarakat.
“Umat Islam akan mencapai kejayaan dan tergolong dalam Ummah Mansurah — umat yang mendapat pertolongan dan kemenangan daripada Allah — sekiranya mereka benar-benar menghayati serta mengamalkan akhlak Nabi SAW,” katanya.
Syarahan yang diadakan sempena ziarah Al-Syaikh Dr. Khaleel Ismail Elias Al-Iraqi ke negara ini, telah mendapat sambutan jemaah yang hadir, dengan mesej utama menekankan keperluan mengembalikan akhlak Nabi sebagai teras penyatuan dan kebangkitan umat Islam masa kini.
