
KENYATAAN MEDIA
ABIM SOKONG PENUH MEMORANDUM KKM UNTUK MENGHARAMKAN ROKOK ELEKTRONIK (VAPE); SERU KABINET SEGERAKAN PELAKSANAAN
8 Oktober 2025 | 16 Rabiul Akhir 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membentangkan Memorandum Jemaah Menteri bagi mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya produk rokok elektronik atau vape dalam negara.
ABIM melihat langkah ini sebagai tindakan tegas dan bertanggungjawab demi melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada risiko penggunaan vape tanpa kawalan. Lebih daripada itu, langkah ini merupakan tindakan mengukuhkan asas moral, ekonomi, dan kemanusiaan yang berpaksi kepada nilai kesejahteraan insan serta kelestarian masa depan negara.
Kajian dan data semasa yang dibentangkan oleh KKM menunjukkan bahawa penggunaan vape bukan sahaja menyumbang kepada ketagihan nikotin dalam kalangan remaja, malah kini telah mengakibatkan peningkatan kes penyakit paru-paru berkaitan penggunaan rokok elektronik (EVALI). EVALI merupakan ancaman yang bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan individu, tetapi turut menjejaskan produktiviti tenaga kerja, ekonomi keluarga, dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Laporan KKM turut mendedahkan bahawa negara dijangka membelanjakan sehingga RM400 juta menjelang tahun 2030 bagi merawat pesakit EVALI. Jumlah ini amat membimbangkan dan bakal menambah beban kepada sistem kesihatan awam negara. Oleh itu, ABIM melihat larangan penuh terhadap vape sebagai pelaburan masa depan terhadap modal insan negara. Dengan pelaksanaannya, ia mampu membina generasi yang bebas dari ketagihan, mempunyai daya tahan moral, berfikiran kritikal, dan sejahtera dalam membuat keputusan hidup. Sehubungan itu, ABIM:
1. Menyeru seluruh anggota Jemaah Menteri untuk menyokong penuh memorandum yang akan dibentangkan oleh KKM tanpa sebarang penangguhan politik atau tekanan kepentingan industri.
2. Mendesak agar pelaksanaan pengharaman rokok elektronik disegerakan, dengan mengambil kira ancaman kesihatan yang kian meningkat serta kesan sosial terhadap generasi muda Malaysia.
3. Menggesa kerajaan menyediakan pelan sokongan menyeluruh termasuk program pendidikan awam, rawatan ketagihan nikotin, dan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar ini melalui kolaborasi bersama pemegang taruh seperti badan bukan kerajaan, institusi pendidikan, dan institusi agama.
4. Menzahirkan tekad memaksimumkan nilai kesejahteraan sebagai dasar utama pembangunan belia dan kesihatan awam dalam semangat Malaysia MADANI.
Pengharaman rokok elektronik ini harus dilihat bukan hanya dari aspek kesihatan, tetapi juga sebagai langkah melindungi generasi masa depan dan institusi keluarga. Ketagihan nikotin dalam kalangan remaja terbukti menjejaskan tumpuan belajar, kestabilan emosi, dan hubungan kekeluargaan. Oleh itu, dasar ini harus diangkat sebagai sebahagian daripada agenda nasional untuk memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta membina persekitaran sosial yang sihat dan bebas daripada unsur ketagihan.
ABIM berpandangan bahawa dasar kesihatan awam tidak wajar tunduk kepada tekanan industri yang menjadikan keuntungan lebih utama daripada nyawa rakyat. Ketelusan dan integriti dasar kesihatan negara mesti dipertahankan agar tidak dikompromi oleh lobi industri vape yang semakin agresif menyasarkan golongan belia sebagai pasaran utama. Kesihatan dan kesejahteraan rakyat harus menjadi keutamaan di atas segala kepentingan komersial.
Cadangan KKM ini juga sejajar dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menegaskan bahawa rokok elektronik bukanlah alternatif selamat dan perlu dikawal ketat. Negara seperti Australia, Thailand, dan India telah melaksanakan larangan penuh ke atas vape demi memelihara kesihatan awam dan langkah yang wajar dicontohi Malaysia. Dalam konteks Malaysia MADANI, dasar ini mencerminkan nilai ihsan dan keadilan sosial yang menjamin rakyat hidup sihat, bebas daripada eksploitasi industri, dan memiliki kekuatan moral untuk membuat pilihan yang bijak.
Sebagai organisasi masyarakat madani yang memperjuangkan kesejahteraan umat dan nilai hidup sihat berteraskan Islam, ABIM percaya bahawa melindungi kesihatan rakyat adalah satu tuntutan syarak dan amanah kepimpinan yang mesti dipikul bersama. Islam menegaskan bahawa segala bentuk kemudaratan wajib dicegah (“لا ضرر ولا ضرار”). Dari perspektif maqasid syariah, usaha mengharamkan vape selaras dengan prinsip hifz al-nafs (memelihara nyawa) dan hifz al-‘aql (memelihara akal) yang menjadi asas kepada kesejahteraan insan dan kemuliaan manusia.
ABIM akan terus memberikan komitmen dalam advokasi kesedaran kesihatan serta bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam melindungi masa depan generasi belia Malaysia daripada bahaya rokok elektronik. ABIM percaya, langkah ini bukan sekadar larangan, tetapi permulaan kepada pembinaan peradaban yang sihat dan lestari, selaras dengan aspirasi negara menuju masa depan yang berdaya tahan, beretika, dan sejahtera.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Muhamad Aliemran Norasid
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
