Dua Tahun Genosid Gaza: Dunia Terus Mengira Angka, Umat Terus Kehilangan Nyawa

KENYATAAN MEDIA
Dua Tahun Genosid Gaza: Dunia Terus Mengira Angka, Umat Terus Kehilangan Nyawa
7 Oktober 2025 | 15 Rabiul Akhir 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya genosid yang telah berlarutan selama dua tahun di Gaza, Palestin, yang menjadi antara bab paling hitam dalam sejarah kemanusiaan moden.
Namun penderitaan ini bukan semata-mata bermula pada 7 Oktober dua tahun lalu. Ia adalah kesinambungan daripada lebih tujuh dekad penjajahan, pendudukan haram dan penindasan sistematik terhadap rakyat Palestin sejak tahun 1948. Apa yang berlaku di Gaza hari ini adalah kemuncak kepada kezaliman yang dibiarkan berlarutan oleh dunia yang memilih untuk melihat tetapi tidak bertindak. Tragedi Gaza bukan sekadar konflik dua pihak, tetapi kesinambungan projek kolonialisme dan apartheid moden yang menafikan hak rakyat Palestin untuk hidup bebas di tanah air mereka sendiri.
Dalam tempoh dua tahun ini, rejim Israel telah menjatuhkan lebih 200,000 tan bahan letupan, memusnahkan hampir 90 peratus wilayah Gaza dan membunuh lebih 68,000 rakyat Palestin termasuk hampir 20,000 kanak-kanak, 12,600 wanita, 1,670 petugas perubatan, 254 wartawan, 140 anggota pertahanan awam dan 346 kakitangan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ini bukan peperangan. Ini adalah pembunuhan beramai-ramai yang disengajakan, satu GENOSID yang lebih tragis kerana disiarkan dan ditonton oleh seluruh dunia secara langsung. Dunia menyaksikan kanak-kanak mati kelaparan, ibu mencari anak di bawah runtuhan, dan doktor terpaksa memilih nyawa siapa yang harus diselamatkan, semuanya di depan mata manusia sejagat yang kononnya bertamadun.
Dunia yang Menyaksikan Tanpa Nurani
Dua tahun telah berlalu namun dunia masih terperangkap dalam bahasa dingin diplomasi dan statistik. Negara-negara kuasa besar terus bersidang, menimbang angka dan menulis resolusi yang tidak ditepati, sedangkan anak-anak Palestin terus mati di bawah runtuhan rumah mereka sendiri.
Kita hidup dalam dunia yang lebih sibuk menghitung ton bom berbanding menghitung nilai nyawa manusia. Dunia yang berkira dalam belas kasihan tetapi murah dalam kemunafikan.
Setiap kali rumah sakit dibom, wartawan dibunuh dan kanak-kanak dibakar hidup-hidup, dunia hanya berdiam diri dengan alasan keselamatan sebuah rejim penjajah. Dunia melihat segalanya secara langsung, tetapi memilih untuk tidak berbuat apa-apa.
Namun dalam diam dan derita itu, lahirlah suara baharu dari pelusuk dunia. Suara ‘global majority’ kini bangkit menentang naratif lama yang menjustifikasi penjajahan dan penindasan atas nama keselamatan. Dari Asia ke Afrika, dari Amerika Latin hingga ke Eropah, jutaan manusia menyedari bahawa perjuangan Palestin bukan isu bangsa atau agama yang terpisah, tetapi perjuangan sejagat melawan penindasan dan ketidakadilan.
Kegagalan Tuntas Komuniti Antarabangsa
ABIM menegaskan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh sistem antarabangsa kini berada dalam krisis legitimasi moral.
Selama dua tahun, resolusi demi resolusi hanya menjadi tinta tanpa tindakan malah lebih malang divetokan. Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah menyatakan bahawa terdapat asas kukuh untuk mendakwa Israel atas jenayah genosid, namun dunia memilih untuk menutup mata.
Negara-negara yang mengaku memperjuangkan hak asasi manusia terus membekalkan senjata kepada rejim pembunuh. Dunia Islam pula masih terikat dengan kepentingan ekonomi dan diplomasi yang membisukan suara kebenaran.
Tragedi ini menunjukkan dengan jelas bahawa sistem global pasca-Perang Dunia Kedua kini gagal menegakkan keadilan sejagat. Dunia yang berasaskan kekuasaan minoriti politik dan ekonomi tidak lagi dapat menjustifikasi dirinya di hadapan suara majoriti kemanusiaan yang menuntut kebebasan dan maruah. The World Is Bigger Than Five!
Seruan ABIM: Bangkitkan Nurani Dunia
ABIM menyeru agar Malaysia terus memainkan peranan tegas dan berprinsip di pentas antarabangsa, meneruskan usaha diplomasi, undang-undang dan tekanan moral terhadap rejim Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
ABIM mengiktiraf pendirian tegas Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan isu Palestin di platform antarabangsa. Namun perjuangan ini mesti digandakan melalui gabungan kuasa masyarakat sivil, ASEAN, OIC dan negara-negara Global Selatan bagi menekan sekatan ekonomi serta mendesak penggantungan segera keanggotaan Israel dalam badan antarabangsa.
ABIM juga menyeru agar seluruh umat Islam, masyarakat sivil dan generasi muda tidak membiarkan isu Palestin menjadi sekadar topik bermusim. Gelombang kesedaran, tekanan kemanusiaan dan solidariti global mesti diteruskan sehingga keadilan ditegakkan dan Palestin kembali merdeka.
Perjuangan ini bukan hanya tentang Gaza, tetapi tentang jiwa kemanusiaan seluruh dunia.
Seruan Keadilan dan Tindakan Nyata
ABIM mendesak agar semua bentuk hubungan perdagangan dan diplomatik dengan rejim zionist Israel dihentikan serta-merta oleh mana-mana negara anggota OIC. Malaysia wajar menaja usul khas di Perhimpunan Agung PBB bagi menubuhkan tribunal antarabangsa terhadap jenayah perang di Gaza. Dunia Islam perlu menyegerakan penubuhan Dana Pemulihan Gaza dan pasukan penyelamat bersama bagi membantu hospital, anak yatim dan pendidikan.
Sesungguhnya bumi Palestin bukan hanya milik sejarah, tetapi medan ujian iman dan kemanusiaan. Firman Allah: “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155).
Keadilan Tidak Akan Mati
Kita menolak dunia yang hanya mengira angka tetapi kehilangan nurani. Kita menolak politik yang memilih bisu ketika kezaliman bermaharajalela. Selama dua tahun bumi Gaza dijajah, dijarah dan dibakar, tetapi semangat rakyatnya tidak pernah padam dan pudar namun terus kuat dan tangguh!
Setiap runtuhan bangunan adalah saksi.
Setiap anak syahid adalah hujah.
Setiap suara kebenaran adalah janji bahawa kebatilan tidak akan kekal.
ABIM menegaskan bahawa kita tidak akan berhenti bersuara. Kita akan terus berdiri bersama rakyat Palestin sehingga dunia kembali berpihak kepada kebenaran dan manusia kembali berpihak kepada kemanusiaan.
Genosid ini disiarkan secara langsung, melalui peranti di tapak tangan kita, dunia juga sedang menyaksikan kebangkitan hati nurani sejagat. Dari Kuala Lumpur ke Italy, dari Australia ke Johannesburg, suara Palestin kini menjadi suara seluruh insan yang menolak penindasan dan menuntut keadilan.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
