Malaysia Memimpin Dengan Hikmah dan Prinsip: ASEAN di Persimpangan Baharu Dunia

October 27, 2025
admin

oleh Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin

  1. Sidang Kemuncak ASEAN ke-47: Titik Peralihan Kepemimpinan Asia Tenggara

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober 2025 mencatat detik bersejarah, bukan sahaja bagi Malaysia sebagai tuan rumah, tetapi juga bagi masa depan rantau Asia Tenggara yang sedang menempuh cabaran geopolitik baharu.

Dengan tema besar “Keterangkuman dan Kemampanan”, persidangan kali ini menegaskan aspirasi ASEAN untuk menjadi rantau yang bukan sahaja makmur dan stabil, tetapi juga inklusif serta lestari dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar. Tema ini berakar daripada semangat ASEAN yang mahu memastikan kemajuan tidak hanya diukur melalui angka untung rugi dan nilai pasaran, tetapi juga melalui keadilan sosial, kelestarian ekologi dan kesejahteraan manusia.

Dihadiri oleh lebih daripada 20 ketua negara dan kerajaan, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil, Presiden Afrika Selatan, serta pemimpin dari China, Rusia, Jepun dan Korea Selatan, sidang kali ini memperlihatkan pengiktirafan global terhadap keupayaan Malaysia sebagai jambatan strategik yang menghubungkan dunia Barat, Timur dan Selatan Global.

Ketika berpeluang menghadiri Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, suasananya cukup mengesankan. Ia bukan sekadar majlis rasmi diplomatik, tetapi pertemuan yang sarat dengan nilai dan sejarah yang menyatukan para pemimpin dunia dalam satu pentas yang melambangkan kematangan Asia Tenggara sebagai blok berprinsip dan berpaksikan moral.

Ucapan pembukaan oleh Pengerusi ASEAN, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menetapkan nada yang progresif dan intelektual. Beliau menegaskan bahawa “leadership is never a matter of routine; it is a matter of choice.” Kepimpinan, tegas beliau, bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi pilihan nilai untuk terus berani menegakkan kebenaran, mempertahankan keadilan dan memperjuangkan kemanusiaan dalam dunia yang semakin terbahagi dan rencam.

Daripada barisan perwakilan, delegasi dan pemerhati, jelas terasa bahawa Malaysia kini tampil bukan hanya sebagai tuan rumah, tetapi sebagai peneraju nilai dan suara moral Selatan Global. Sidang ini menjadi saksi kepada kepimpinan Malaysia Madani yang mendamaikan, berpaksikan prinsip dan berjiwa insani.

  1. Diplomasi Hikmah dan Manhaj Aseani

Sepanjang tempoh kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia memperlihatkan diplomasi berhikmah dengan mengimbangi kepentingan strategik dan moral di tengah dunia yang sarat dengan konflik dan ketidakseimbangan kuasa.

Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja di ibu negara menjadi simbol keupayaan ASEAN sebagai jambatan perdamaian serantau pada ketika banyak kuasa dunia memilih jalan konfrontasi. Perjanjian ini bukan sekadar menamatkan pertikaian dua negara jiran, tetapi memperlihatkan kuasa lunak Asia Tenggara bahawa perdamaian boleh dicapai melalui hikmah, musyawarah dan saling menghormati kedaulatan.

— fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED

Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa “reconciliation is not a concession, but an act of courage, and that peace, once chosen, can reshape the future of nations.” Ungkapan itu menggariskan falsafah perdamaian ASEAN yang unik berasaskan keberanian moral, bukan paksaan kuasa.

Malaysia juga menegaskan bahawa penyelesaian krisis Myanmar mesti kekal berpaksikan Konsensus Lima Perkara dan hanya akan berjaya jika mengambil kira pendekatan Myanmar-owned dan Myanmar-led. Pendekatan ini menggambarkan falsafah diplomasi Malaysia yang berakar pada hikmah, kesabaran dan keinsafan terhadap realiti kemanusiaan.

Pendekatan ini turut mencerminkan semangat Manhaj Maliziy atau pendekatan Ala Malaysia yang pernah digarap oleh Allahyarham Dato’ Dr Siddiq Fadzil dengan gagasan kepimpinan yang berpaksikan kebijaksanaan tempatan, nilai sejagat Islam serta keutamaan dialog dan keadilan sosial.

Dalam konteks ini, gagasan Ala ASEAN kini berkembang menjadi satu kerangka baharu iaitu Manhaj Aseani, pendekatan diplomasi yang menzahirkan semangat Asia Tenggara yang mengutamakan musyawarah, menghormati maruah sesama jiran dan membina keamanan melalui hikmah, bukan dominasi.

Manhaj Aseani mengangkat kekuatan budaya dan sejarah rantau ini sebagai asas kepada diplomasi moral, daripada gotong-royong hingga muafakat, daripada memberi kepada berbudi. Inilah warisan nilai yang kini diterjemahkan oleh Malaysia dalam kepengerusian ASEAN 2025 yang membuktikan bahawa hikmah Asia Tenggara masih menjadi panduan kepada dunia yang sedang kehilangan keseimbangan.

  1. Kepaksian ASEAN dan Keberanian Menyuarakan Kemanusiaan

Sejak penubuhannya lebih setengah abad lalu, ASEAN kekal sebagai mercu kestabilan dan titik keseimbangan di tengah dunia yang sering bergolak. Prinsip Kepaksian ASEAN bukan sekadar slogan diplomatik, tetapi lahir daripada kesedaran bahawa rantau ini hanya dapat bertahan dengan berpaksikan muafakat, hikmah dan kematangan politik.

Dari era pasca-Perang Dingin hingga ke zaman persaingan geopolitik baharu, ASEAN tetap teguh mempertahankan semangat unity in diversity, kesatuan dalam kepelbagaian yang menjadikan Asia Tenggara sebuah rantau yang stabil dan sederhana serta berperanan sebagai jambatan antara kuasa besar dunia. Kini, di bawah kepimpinan Malaysia, semangat itu diterjemahkan dengan lebih jelas dan berprinsip, menekankan inklusiviti, kelestarian dan kemanusiaan sejagat. ASEAN bukan lagi sekadar blok ekonomi, tetapi komuniti nilai dan nurani global.

Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, gabungan 16 pertubuhan bukan kerajaan termasuk ABIM telah menyerahkan memorandum sokongan kepada YAB Perdana Menteri. Memorandum itu menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia memanfaatkan peluang kerjasama ASEAN–Amerika Syarikat serta menyeru agar negara terus menegaskan peranan sebagai pusat keamanan dan dialog serantau, selain menolak dasar yang menzalimi rakyat Gaza.

Dalam maklum balasnya, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan masyarakat madani dan menyatakan bahawa suara tersebut selaras dengan pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan keadilan serta kemanusiaan di peringkat global. Ia membuktikan bahawa diplomasi Malaysia berpaksikan suara rakyat, bukan terpisah daripada akarnya.

Namun prinsip Kepaksian ASEAN kini berdepan ujian baharu. Rantau ini semakin terhimpit antara kepentingan kuasa besar, persaingan ekonomi digital dan cabaran kemanusiaan global yang kian kompleks. ASEAN perlu menjadi bukan sekadar pengimbang kuasa, tetapi penentu arah moral dunia yang berasaskan keadilan dan kemanusiaan sejagat. Malaysia dengan pengalaman diplomasi berhikmah berpotensi menghidupkan kembali semangat awal Deklarasi Bangkok yang menatijahkan ASEAN sebagai wadah suara bebas Selatan Global.

Tatkala Presiden Donald Trump menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, peristiwa bersejarah ini menjadi lambang kepada kuasa lunak Asia Tenggara bahawa perdamaian boleh dicapai melalui dialog dan saling menghormati, bukan paksaan dan dominasi.

Manakala dalam Sidang ASEAN–Amerika Syarikat pula, Malaysia turut menggesa Presiden Trump agar mengekalkan komitmen kukuh terhadap usaha perdamaian di kawasan konflik termasuk Semenanjung Gaza. Perdana Menteri menegaskan sokongan ASEAN terhadap pelan komprehensif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat bagi menjamin keamanan berkekalan di Gaza sebagai tanda kesediaan Malaysia dan ASEAN mendukung inisiatif yang berpaksikan keadilan dan penyelesaian damai. Penegasan ini memperlihatkan diplomasi nilai Malaysia yang berani, berprinsip dan berperikemanusiaan.

Sebelum itu, Perdana Menteri diberi penghormatan menaiki kenderaan rasmi The Beast bersama Presiden Trump dalam perjalanan dari KLIA ke KLCC dan menggunakan kesempatan itu untuk membincangkan pelbagai isu penting termasuk perihal Palestin. Peristiwa ini bukan sekadar simbol hubungan diplomatik dua hala, tetapi turut memperlihatkan keseimbangan antara diplomasi kepimpinan dan denyut suara rakyat.

Di satu sisi, Malaysia menampilkan hikmah dan keberanian moral dalam berinteraksi dengan kuasa besar dunia bagi memperjuangkan agenda keamanan dan kemanusiaan. Namun pada masa yang sama, rakyat Malaysia melalui pelbagai saluran masyarakat madani berhimpun dan tegas menyampaikan mesej yang jelas menolak dasar dan pendirian pro-Zionis yang selama ini mewarnai politik luar Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Trump.

Keseluruhan peristiwa ini menggambarkan kematangan diplomasi Malaysia yang mengimbangi ketegasan dengan adab, dan kritikan dengan prinsip. Ia menzahirkan bahawa kuasa lunak berteraskan nilai kemanusiaan masih mampu menjadi jambatan antara bangsa dan budaya, tanpa perlu tunduk kepada tekanan atau pengaruh mana-mana kuasa.

  1. ASEAN sebagai Jambatan Selatan Global

Ketika lensa dunia tertumpu kepada kedatangan Presiden Donald Trump, hakikat yang lebih besar sedang terbentuk dalam Sidang ASEAN kali ini, iaitu kebangkitan blok Selatan Global sebagai kuasa baharu yang menuntut keadilan dan keseimbangan dalam sistem antarabangsa.

Salah satu pencapaian penting sidang ini ialah peluasan jaringan strategik antara ASEAN dan Selatan Global termasuk sebelum ini dalam penganjuran Sidang ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk serta kali ini dengan kehadiran Brazil, Rusia dan Afrika Selatan dalam Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20. Langkah ini menandakan kebangkitan diplomasi Selatan–Selatan yang sedang membina blok majoriti global, satu kerangka geopolitik baharu berasaskan keadilan, kesamarataan dan kemanusiaan sejagat.

Dalam konteks dunia pasca-pandemik dan perubahan iklim, konsep Selatan Global yang membentuk naratif Global Majoriti bukan lagi simbol retorik, tetapi gerakan nyata untuk menuntut reformasi sistem antarabangsa yang lebih adil, meliputi pembiayaan pembangunan, keadilan iklim dan ekonomi digital yang saksama. Malaysia melalui ASEAN berpeluang menjadi jurubicara yang progresif dan mengimbangi suara kuasa besar dengan gagasan dunia berteraskan nilai kemanusiaan.

Sidang ini juga memperlihatkan keberanian ASEAN membentuk tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang, di mana kuasa lunak dan moral kemanusiaan diangkat lebih tinggi daripada kekuatan material semata-mata. Malaysia memainkan peranan penting sebagai penyambung dunia Islam, Asia Timur, Afrika dan Amerika Latin, suatu kedudukan geopolitik yang pernah digagaskan oleh Anwar Ibrahim dalam karya beliau The Asian Renaissance.

  1. Timor-Leste: Babak Baharu dan Penghormatan kepada Pejuang Bangsa

Kemuncak penting Sidang ASEAN kali ini ialah kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, menandakan penyempurnaan keluarga besar ASEAN selepas hampir lima dekad penubuhannya. Langkah ini mencerminkan semangat keterangkuman dan solidariti serantau serta komitmen ASEAN terhadap pembangunan seimbang dan keadilan serantau.

Bagi rakyat Timor-Leste, detik ini amat dinanti dan diraikan setelah melalui perjalanan panjang penuh pengorbanan. Sosok seperti Kay Rala Xanana Gusmão terpahat sebagai lambang perjuangan, ikon ketabahan dan idealisme kemerdekaan. Dari perjuangan gerila ke meja rundingan, beliau menjadi simbol keberanian moral yang mempertautkan nilai kemerdekaan dan kemanusiaan.

Ketika beliau berdiri di pentas sidang di Kuala Lumpur untuk menyampaikan penghargaan kepada Malaysia atas peranan sebagai Pengerusi ASEAN, suasananya amat menyentuh hati dan turut dirasai oleh delegasi Timor-Leste serta seluruh perwakilan. Sebagai pemerhati, saya menyaksikan wajah seorang negarawan yang membawa luka sejarah dan harapan masa depan bangsanya, dan pada masa yang sama menyaksikan Malaysia dihormati sebagai jambatan yang menghidupkan impian sebuah negara kecil yang gigih mencari tempatnya di dunia.

Peristiwa ini mengingatkan bahawa ASEAN bukan sekadar komuniti ekonomi, tetapi keluarga besar yang saling membangunkan dan menyembuhkan luka sejarah.

  1. Rakyat dan Generasi Muda: Denyut Nadi ASEAN Baharu

Hakikatnya, kekuatan sebenar ASEAN tidak terletak pada institusi semata-mata, tetapi pada rakyatnya, khususnya generasi muda yang menjadi nadi kepada masa depan rantau ini. Menurut laporan rasmi Sekretariat ASEAN, populasi belia di rantau ini dianggarkan sekitar 213 juta orang, membentuk kira-kira 34 peratus daripada jumlah penduduk ASEAN.

Dalam dunia yang sedang berubah dengan pantas, belia ASEAN berperanan sebagai penghubung nilai dan inovasi yang mampu menyalakan semula semangat solidariti serantau berasaskan kemanusiaan sejagat merentasi sempadan. Namun di sebalik potensi besar itu, belia ASEAN berdepan cabaran ketidaksamaan sosioekonomi, kehilangan arah nilai dan krisis identiti digital yang semakin ketara. Maka, penglibatan mereka dalam agenda ASEAN bukan sekadar program simbolik, tetapi mesti dilihat sebagai agenda reformasi sosial serantau.

Sebagai gerakan masyarakat madani, ABIM menegaskan bahawa generasi muda mesti dilibatkan secara langsung dalam pembentukan dasar, diplomasi rakyat dan agenda masa depan ASEAN. Mereka bukan hanya pemerhati, tetapi penerus Manhaj Aseani, generasi yang membina perdamaian, menegakkan keadilan sosial dan memperjuangkan kesejahteraan sejagat dengan idealisme dan ilmu.

Dalam konteks ini, ASEAN turut menzahirkan komitmen terhadap pemerkasaan belia apabila ASEAN Prize 2025 dinobatkan kepada Union of Youth Federations of Cambodia (UYFC) sebagai pengiktirafan atas sumbangan memperkukuh penglibatan belia dan memajukan integrasi serantau. Pengiktirafan ini memperlihatkan keyakinan bahawa masa depan ASEAN terletak di tangan generasi muda yang memiliki semangat kepimpinan, daya fikir dan keinsafan nilai kemanusiaan.

Justeru, program dialog belia serantau, pertukaran pemimpin muda dan jaringan masyarakat madani ASEAN perlu diperkukuh untuk melahirkan generasi yang mampu menjadi penentu arah moral rantau ini. Inilah langkah penting untuk memastikan ASEAN kekal relevan, berjiwa rakyat dan berpaksikan nilai.

  1. Malaysia dan Aspirasi ASEAN 2045: Kepimpinan Nilai untuk Dunia Baharu

Wawasan Komuniti ASEAN 2045 memberi arah jangka panjang bagi membina rantau yang bersatu, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat. Malaysia berperanan penting dalam menterjemahkan visi ini melalui kepimpinan berasaskan nilai, hikmah, keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Seperti ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapannya, “The future of ASEAN will not be written by circumstance, but by choice, by the choices we make today.” Pilihan Malaysia untuk memimpin dengan prinsip, bukannya kuasa, telah menjadikan negara ini suara moral dan penentu arah kepada tataan dunia baharu yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

Penutup

IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 adalah bukti bahawa hikmah, prinsip dan kemanusiaan masih mampu menjadi asas kepada kepimpinan antarabangsa. Bersandarkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia menzahirkan bahawa pembangunan dan kemajuan hanya akan bermakna jika ia menyatukan, bukan memisahkan; memelihara, bukan merosakkan; dan menegakkan kemanusiaan, bukan mengorbankannya.

Marcapada, Malaysia memilih jalan diplomasi nilai dan keberanian moral, memimpin ASEAN sebagai suara damai, solidariti dan harapan baharu dunia.

Walaupun sebagai tuan rumah Malaysia berusaha sebaiknya dalam memberikan Malaysian Hospitality sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini, pasti ada kekurangan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Namun dalam semangat ASEAN itu sendiri, setiap usaha dan kekurangan mesti dijadikan pelajaran untuk memperkukuh perjalanan ke hadapan. Yang utama bukan kesempurnaan pada zahir, tetapi ketulusan pada niat dan tekad untuk terus membina rantau ini atas dasar hikmah dan muafakat.

Akhirnya, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih wajar dirakamkan kepada semua pihak yang telah menjayakan kepengerusian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN daripada kepimpinan negara, pasukan petugas kerajaan dan diplomat, hinggalah kepada para petugas, sukarelawan, masyarakat madani, petugas media serta semua yang telah memainkan peranan penting dalam mengangkat maruah, darjat dan martabat Malaysia di pentas dunia.

Penghargaan ini juga ditujukan kepada semua Ketua Negara ASEAN dan para pemimpin dunia yang hadir atas komitmen, kepercayaan dan semangat persaudaraan yang dizahirkan sepanjang persidangan ini. Semoga semangat kebersamaan ini terus subur dan menjadi landasan kepada rantau yang damai, makmur dan berjiwa insani, sesuai dengan aspirasi ASEAN 2045 untuk membina Asia Tenggara sebagai rumah bersama yang adil, seimbang dan mengangkat kemuliaan insan.

*Penulis adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo