
KENYATAAN MEDIA
ABIM MENYAMBUT AGENDA REFORMASI INSTITUSI KERAJAAN MADANI SEMPENA TAHUN BAHARU 2026
5 Januari 2026 bersamaan 16 Rejab 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik pengumuman tujuh perkara utama oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang mencerminkan iltizam jelas Kerajaan MADANI untuk memulakan tahun 2026 dengan agenda reformasi institusi, keadilan sosial, pengukuhan ekonomi dan pemerkasaan rakyat.
ABIM melihat pengumuman ini sebagai isyarat penting bahawa negara sedang bergerak ke arah pembinaan sebuah Negara Madani yang berteraskan prinsip amanah, akauntabiliti dan kesejahteraan bersama, selari dengan aspirasi rakyat terhadap kepimpinan berintegriti serta pentadbiran yang bertanggungjawab.
ABIM menyokong usaha menjadikan reformasi sebagai tunjang pentadbiran negara, khususnya melalui pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
Langkah ini penting bagi mengukuhkan asas negara hukum dan mengekang salah guna kuasa secara berinstitusi.
ABIM menegaskan bahawa agenda reformasi ini mesti disertai mekanisme pemantauan awam yang jelas, garis masa pelaksanaan yang boleh diaudit serta pelaporan berkala kepada rakyat bagi mengelakkan keletihan reformasi dan memastikan setiap komitmen dipertanggungjawabkan.
Di samping itu, ABIM berpandangan reformasi negara wajar diperluas kepada pembaharuan struktur yang masih belum disentuh secara tuntas, termasuk reformasi pembiayaan politik, pengukuhan kebebasan media, pemerkasaan peranan Parlimen serta hubungan yang lebih tersusun antara kerajaan dan masyarakat sivil.
ABIM menekankan bahawa kejayaan reformasi ini memerlukan sokongan padu seluruh ekosistem negara, merentas parti politik, institusi kerajaan, masyarakat sivil dan rakyat. Reformasi tidak boleh digalas oleh kerajaan semata mata, sebaliknya menuntut kematangan politik dan kesediaan bersama meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan partisan.
ABIM melihat tahun 2026 sebagai tahun ujian kepada keikhlasan dan keberanian reformasi. Kejayaan sebenar bukan diukur melalui jumlah pengumuman, tetapi melalui pelaksanaan dasar yang konsisten, telus, berintegriti dan berpaksikan keadilan sosial.
Sehubungan itu, ABIM akan terus berperanan sebagai rakan kritis yang konstruktif, menyokong setiap langkah yang memihak kepada rakyat serta menegur dengan hikmah dan tanggungjawab moral demi memastikan Malaysia benar benar bergerak ke arah sebuah Negara Madani yang adil, berperikemanusiaan dan bermaruah.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
