Oleh Dr Fatin Nur Majdina Nordin

Hari Hijab Sedunia yang mula disambut semenjak 1 Februari 2013 menzahirkan pengiktirafan terhadap wanita-wanita Muslim yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Sambutan ini telah dicetuskan oleh Nazma Khan, seorang aktivis sosial berketurunan Bangladesh yang menetap di New York.
Hari Hijab Sedunia diilhamkan daripada pengalaman beliau yang menghadapi diskriminasi selepas tragedi 11 September 2001. Sambutan ini bertujuan untuk membetulkan salah faham mengenai Islam khususnya yang berkaitan depan pemakaian hijab. Ini kerana ia sering menjadi polemik dan isu khususnya dalam membincangkan kebebasan dan hak-hak wanita dalam Islam.
Secara umum ada wacana yang melihat hijab atau pemakaian tudung ini adalah sebahagian daripada kerangka untuk menyekat kebebasan dalam kalangan wanita Muslim, di mana golongan ini dihalang daripada memilih pakaian dan penampilan peribadi.
Akan tetapi fenomena kebangkitan Islam pada 1970-an telah membuka dimensi baharu terhadap pemakaian hijab serta perjuangan wanita Muslim di negara ini. Amalan bertudung tidak hanya terhad pada aspek pemakaian serta fizikal mereka.
Fenomena ini telah disusuli dengan kesedaran dalam kalangan wanita untuk berkecimpung dengan aktif dalam pelbagai bidang. Asas kepada kesedaran tersebut adalah keinginan untuk menerokai potensi diri dengan ilmu pengetahuan.
Wanita-wanita Muslim telah mula mendapat tempat untuk berperanan secara aktif dalam pembinaan negara, merentas pelbagai spektrum serta bidang. Ini membuktikan wibawa golongan wanita Muslim telah terbukti tanpa perlu mengikut rentak naratif yang dimainkan oleh kelompok tertentu serta dunia barat.
Antaranya termasuk dalam bidang yang dahulu dilihat agak sukar diceburi oleh wanita yang mengenakan hijab. Sebagai contoh baru-baru ini sebuah syarikat penerbangan utama tanah air telah membenarkan pramugari Muslim untuk memakai tudung ketika bertugas.
Contoh ini tidak seharusnya ditanggapi sebagai simbol keterbukaan semata-mata. Sebaliknya ia merupakan indikasi terhadap keupayaan wanita Muslim di negara ini untuk merubah lanskap penghayatan Islam secara lebih meluas.
Menurut Allahyarham Prof Dr Khalijah Salleh negara ini perlu merealisasikan model pembangunan wanita muslimnya yang tersendiri. Ini kerana model pembangunan barat hanya berpusat kepada kesejahteraan ekonomi dan material semata-mata, dengan mengesampingkan dimensi sosio-budaya dan kerohanian.
Manakala model Pembangunan Wanita Islam menurut Allahyarham Prof Dr. Khalijah Salleh adalah berasaskan rahmat dan keseimbangan yang mencakupi pelbagai aspek termasuk kemanusiaan serta alam sekitar.
Tidak dinafikan masih ada stigma yang masih wujud kerana ia berkembang selari dengan upaya pihak berkepentingan sempit yang ingin terus menghidupkan sentimen Islamophobia sejagat.
Akan tetapi usaha yang dilakukan Dr Farah Shaheera Roslan pada tahun 2021 wajar dijadikan sebagai antara contoh. Beliau adalah seorang doktor muda kelahiran Malaysia yang bertugas di United Kingdom.
Dr Farah Shaheera Roslan telah mencipta hijab pakai buang bersteril khas untuk digunakan ketika menjalankan pembedahan. Ini susulan daripada pengalamannya yang menghadapi kesukaran kerana hijab biasa yang digunakan tidak menepati piawaian kebersihan hospital.
Inovasi ini telah diiktiraf oleh pihak berkuasa tempatan di mana beliau telah menerima Mary Seacole NHS Leadership Academy Award 2020 dan turut dicalonkan dalam British Muslim Award 2020.
Kefahaman seorang wanita Muslim mengenai pemakaian hijab serta amalan bertudung ini hijab perlu berasaskan kepada sumber utama iaitu Al-Qur’an dan Hadith. Sebagai contoh ayat 31 Surah An-Nur telah menggariskan panduan penting bagi seorang wanita Muslim untuk memelihara kehormatan diri melalui tingkah laku dan pemakaian mereka.
Kemuliaan seorang wanita Muslim terpelihara kerana pemakaian tudung atau hijab ini terbukti tidak menghalang mereka daripada berkecimpung dalam pelbagai profesion serta bidang, tanpa perlu bersifat apologetik terhadap perintah agama yang bertujuan untuk melindungi kehormatan serta keselamatan mereka.
Menurut ulama’ terkemuka Turkiye serta pengarah Risalah An-Nur hijab adalah fitrah wanita, kerana ia memberi perlindungan, keyakinan dan keselamatan kepada wanita. Di samping itu hijab turut melindungi wanita daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang tidak baik.
