
30 Mac 2026 | 10 Syawal 1447H: Serangan terhadap pasukan pengaman bukan sekadar tragedi, tetapi satu isyarat jelas bahawa norma asas keselamatan antarabangsa sedang terhakis. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras kerasnya serangan yang telah mengorbankan seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), Prajurit Kepala (Praka) Farizal Rhomadhon, serta mencederakan beberapa anggota lain ketika berkhidmat di bawah misi pengaman United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
ABIM merakamkan setinggi tinggi takziah kepada keluarga mangsa serta menyatakan solidariti penuh kepada rakyat dan kerajaan Indonesia atas kehilangan ini. Insiden ini merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Indonesia, tetapi kepada seluruh komuniti antarabangsa yang komited terhadap usaha keamanan global.
Peristiwa ini tidak boleh dilihat sebagai insiden terpencil. Ia mencerminkan kemerosotan serius terhadap perlindungan pasukan pengaman antarabangsa. Apabila pasukan pengaman yang beroperasi di bawah mandat antarabangsa turut menjadi sasaran, dunia kini berdepan krisis keyakinan yang semakin mendalam terhadap keupayaan sistem keselamatan kolektif.
Dalam konteks ini, ABIM menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman bukan lagi isu operasi semata mata, tetapi telah menjadi persoalan strategik yang menuntut tindakan segera dan terselaras di peringkat antarabangsa. Sebarang kelewatan dalam bertindak hanya akan meningkatkan risiko eskalasi serta menghakis lagi kredibiliti institusi antarabangsa.

Dalam masa yang sama, ABIM mengambil maklum kehadiran anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang kini bertugas di Lubnan di bawah misi UNIFIL. Sehubungan itu, ABIM menggesa agar pihak berkuasa Malaysia memberikan maklumat yang jelas dan terkini mengenai status keselamatan anggota negara, di samping memastikan langkah perlindungan dipertingkatkan secara menyeluruh selaras dengan tahap risiko semasa di kawasan operasi.
Sehubungan itu, ABIM mengemukakan pendirian berikut:
Pertama, Malaysia perlu segera menjalankan penilaian menyeluruh terhadap tahap keselamatan anggota MALBATT, termasuk kesiapsiagaan operasi, peraturan penglibatan serta keperluan pengukuhan perlindungan di lapangan. Keselamatan anggota mesti menjadi keutamaan mutlak dalam sebarang pertimbangan strategik.
Kedua, Malaysia bersama Indonesia dan negara negara ASEAN perlu menyelaras pendirian bersama bagi mendesak jaminan keselamatan yang lebih tegas di peringkat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), termasuk memastikan akauntabiliti terhadap mana mana pihak yang mensasarkan pasukan pengaman.
Ketiga, ASEAN tidak boleh kekal sebagai pemerhati pasif dalam isu ini. Sebaliknya, rantau ini perlu tampil sebagai blok serantau yang lebih proaktif, termasuk mempertimbangkan kenyataan bersama serta mekanisme konsultasi segera dalam kalangan negara penyumbang, bagi mempertahankan prinsip perlindungan pasukan pengaman dan norma keselamatan antarabangsa.
Keempat, Malaysia sebagai sebuah negara berpendirian sederhana dan berprinsip harus memperkukuh peranannya sebagai suara yang konsisten dalam mempertahankan undang undang antarabangsa, termasuk mengangkat isu ini dalam platform pelbagai hala seperti Gerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta forum Global South.
Kegagalan untuk bertindak secara tegas terhadap insiden seperti ini berisiko mewujudkan satu duluan berbahaya, di mana pasukan pengaman tidak lagi dihormati sebagai entiti neutral. Jika keadaan ini berterusan, keseluruhan kerangka keamanan antarabangsa akan terdedah kepada keruntuhan yang lebih luas.
Sehubungan itu, ABIM menyeru kepada pendekatan diplomasi yang lebih tegas, penyelarasan serantau yang lebih kukuh, serta komitmen antarabangsa yang lebih jelas dalam memastikan keselamatan semua anggota pengaman terpelihara. Keselamatan pasukan pengaman adalah garis merah yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan konflik.
Malaysia bersama rakan serantau dan komuniti antarabangsa harus terus memainkan peranan aktif dalam mempertahankan keamanan, kedaulatan undang undang antarabangsa serta keselamatan manusia sejagat.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
