
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
SPM 2025: ISYARAT PENTING MEMPERCEPAT REFORMASI PENDIDIKAN NASIONAL 2026–2035
31 Mac 2026 | 11 Syawal 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan penghargaan terhadap keputusan SPM 2025 yang menunjukkan beberapa perkembangan positif dalam sistem pendidikan negara, serta mengucapkan tahniah kepada semua calon atas usaha dan pencapaian masing-masing.
Dalam menilai keputusan ini, ABIM menegaskan tiga perkembangan penting. Pertama, keupayaan generasi tanpa UPSR dan PT3 menyesuaikan diri membuktikan bahawa reformasi pentaksiran boleh dilaksanakan secara berkesan. Kedua, pemulihan pembelajaran pasca pandemik COVID-19 semakin stabil. Ketiga, kadar ketidakhadiran SPM yang sebelum ini menjadi polemik turut menunjukkan penambahbaikan konsisten sejak SPM 2023 di bawah kepimpinan YB Fadhlina Sidek.

ABIM menyambut baik peningkatan kadar kelayakan sijil kepada 366,435 calon (94.29%), serta penurunan ketidakhadiran. Indikator kualiti juga menunjukkan kemajuan apabila jumlah calon gagal semua subjek menurun kepada 0.42%, sekali gus menandakan kumpulan paling tercicir semakin mengecil hasil intervensi yang lebih tersusun dan berfokus.
Sehubungan itu, ABIM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas usaha berterusan memperkukuh intervensi pendidikan serta memastikan lebih ramai pelajar kekal dalam sistem dan berpeluang menamatkan persekolahan dengan baik.
Dalam hal ini, ABIM menghargai komitmen pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam melaksanakan intervensi berterusan. Namun, usaha ini perlu diperkukuh secara kolektif dengan penglibatan Kerajaan Negeri, yayasan dan masyarakat sivil bagi memperluas ekosistem sokongan pendidikan yang lebih menyeluruh.
Pada masa yang sama, perkembangan ini mencerminkan pendekatan pendidikan yang semakin inklusif, khususnya dalam membuka ruang kepada golongan rentan untuk mengakses pendidikan dan menduduki peperiksaan awam. Pendekatan ini selari dengan prinsip keadilan sosial serta aspirasi Malaysia MADANI.
Namun demikian, ABIM menegaskan bahawa SPM 2025 bukan sekadar laporan pencapaian tahunan, tetapi cerminan arah masa depan pendidikan negara. Penurunan prestasi dalam beberapa subjek teras memberi isyarat bahawa jurang antara akses dan kualiti masih wujud dan memerlukan perhatian yang lebih tuntas serta bersifat sistemik.
Hakikatnya, akses tanpa kualiti akan melahirkan generasi yang hadir ke sekolah tetapi tidak benar-benar menguasai asas pembelajaran. Jika tidak ditangani segera, keadaan ini berisiko menjejaskan daya saing negara serta membentuk masa depan bangsa yang rapuh dari segi ilmu dan nilai.
Penurunan prestasi Bahasa Melayu perlu diberi perhatian strategik kerana ia berkait rapat dengan jati diri, perpaduan nasional dan pembinaan watak Bangsa Malaysia. Dalam masa yang sama, langkah mewajibkan Bahasa Melayu dan Sejarah kepada semua sekolah termasuk sekolah antarabangsa dan swasta adalah tepat, namun perlu dilaksanakan secara berhikmah, berperingkat dan berkualiti.
ABIM turut menegaskan keperluan menangani cabaran sistemik seperti jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar, tekanan kesihatan mental dalam kalangan pelajar, serta keperluan memperkukuh literasi dan numerasi. Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) juga perlu diperkukuh melalui standardisasi yang jelas, latihan guru yang menyeluruh serta jaminan kualiti yang berkesan.
Sehubungan itu, dapatan SPM 2025 perlu dijadikan asas memperkukuh reformasi melalui Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035. ABIM menggesa agar pelan tindakan yang jelas, terukur dan berimpak tinggi dirangka dan dilaksanakan dengan segera, dengan tumpuan kepada akses yang adil, kualiti pembelajaran serta keberkesanan pelaksanaan di peringkat sekolah.
ABIM menegaskan bahawa pendidikan tidak boleh terperangkap dalam orientasi peperiksaan semata-mata. Sebaliknya, sistem pendidikan perlu menumpukan kepada pembangunan insan secara menyeluruh yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Akhirnya, ukuran sebenar kejayaan pendidikan bukan sekadar pencapaian, tetapi sejauh mana sistem mampu mengangkat golongan paling tercicir keluar daripada kitaran kegagalan. Ini kerana pendidikan adalah asas utama pembinaan peradaban dan masa depan negara.
“SPM bukan noktah pendidikan, tetapi cerminan arah masa depan negara.”
‘Menegakkan Kebenaran dan Keadilan’.
Muhamad Aliemran bin Norasid
Naib Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
