
SHAH ALAM – Penderaan kewangan termasuk menjadi mangsa hutang suami juga merupakan antara bentuk keganasan rumah tangga yang tidak disedari kerana tidak melibatkan kecederaan fizikal.
Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (Helwa Abim), Dr Fatin Nur Majdina Nordin bagaimanapun berkata, ia tidak boleh dipandang ringan kerana memberi kesan besar terhadap emosi, mental dan kesejahteraan sosial mangsa.
“Antara bentuk penderaan kewangan termasuk paksaan mengeluarkan wang daripada akaun milik isteri, larangan mengakses kad bank atau buku akaun, kegagalan memberi nafkah dan tindakan membuat pinjaman menggunakan nama pasangan tanpa persetujuan sebenar.
“Keadaan ini boleh menyebabkan wanita terperangkap dalam beban hutang dan hilang keupayaan untuk berdikari, sekali gus memberi tekanan berpanjangan kepada diri dan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Meskipun tiada statistik khusus berkaitan wanita yang menjadi mangsa hutang suami, Fatin Nur Majdina mengakui isu tersebut wujud berdasarkan aduan dan kes yang pernah dikendalikan.
“Ramai mangsa berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan disebabkan faktor seperti takut terhadap ancaman suami, bimbang menjaga imej keluarga, malu serta tidak mengetahui saluran yang betul,” ujarnya.
Beliau sehubungan itu berkata, wanita yang menjadi mangsa penderaan kewangan dalam perkahwinan disarankan supaya mendapatkan maklumat menyeluruh serta khidmat kaunseling melalui saluran rasmi termasuk peguam, mahkamah dan agensi kerajaan berkaitan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan mangsa memahami hak mereka di sisi undang-undang dan memperoleh perlindungan sewajarnya.
“Mangsa boleh mendapatkan bantuan kaunseling kewangan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), selain mendapatkan nasihat perundangan daripada peguam atau agensi berkaitan.
“Tuntutan nafkah dan hak lain juga boleh dibuat di Mahkamah Syariah. Manakala, sebarang aktiviti membabitkan salah guna akaun bank boleh dibawa ke bank berkaitan untuk dibantu,” katanya.
Tambah beliau, peranan masyarakat amat penting dalam memantau perubahan yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau rakan, termasuk tanda seperti kekurangan keperluan asas, perubahan emosi dan pengasingan sosial.
“Selain itu, bantuan awal yang penting ialah sokongan emosi dan psikologi. Mangsa juga perlu dirujuk kepada pihak profesional untuk mendapatkan bantuan serta saranan yang lebih baik,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
