
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik kenyataan Kerajaan untuk menubuhkan kumpulan perbincangan yang terdiri daripada ulama’ dan ilmuwan, untuk menilai semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). ABIM mengharapkan peranan JAKIM dapat disegarkan; sesuai dengan fungsi badan berkenaan sebagai agensi yang menyelaras penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak, menyelaraskan urusan hal ehwal pentabiran dan pembangunan agama Islam.
Berdasarkan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai Agama Persekutuan, ABIM menegaskan peranan JAKIM tetap relevan serta penting terutama sekali ke arah membentuk kefahaman Islam yang lebih menyeluruh sesuai dengan persoalan pemikiran, Fiqh serta Syariah, sosio-ekonomi dan politik pada masa akan datang.
Tanpa menafikan sumbangan serta peranan JAKIM yang cukup besar sebelum ini, ABIM merasakan badan tersebut perlu lebih kehadapan serta inklusif untuk mengangkat tema Al-Islam Rahmatun Lil ‘Alamin yang bersifat lebih inklusif, dengan pelbagai pihak termasuk dengan masyarakat bukan Islam serta isu-isu sensitif. Pada masa akan datang juga, JAKIM perlu proaktif mengetengahkan perbincangan serta wacana pemikiran Islam kontemporari, untuk membentuk kefahaman yang lebih holistik dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap Islam.
ABIM serta pertubuhan-pertubuhan Islam dan para agamawan serta masyarakat — sentiasa bersedia untuk berpartisipasi dalam proses perbincangan yang bakal diadakan kelak. Partisipasi ini adalah komitmen ABIM ke arah menggerakkan gelombang baru dakwah; dilancarkan untuk menganjak tahap keberagamaan umat, dengan bingkai Maqasid Syariah yang mengutamakan kemaslahatan rakyat dan menghindari sebarang kemudaratan.
Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
