
BRISBANE – Alhamdulillah, Sidang Kemuncak Belia Muslim Australasia dan Asia Tenggara (ASEAMYS 2026) telah berlangsung pada 6 hingga 7 Februari 2026. Sidang kemuncak ini dianjurkan oleh Islamic Council of Queensland (ICQ) sebagai forum bertindak yang menghimpunkan delegasi belia, ilmuwan, serta pemimpin masyarakat dari rantau Australasia dan Asia Tenggara.
Presiden ABIM, Sdr. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) RISEAP bagi Zon Tengah, telah hadir menyampaikan pengisian bertajuk “Malaysia Status Report: Muslim Youth 2026, Challenges, Trends and The Path to the National Building.”
Dalam pembentangan tersebut, beliau menegaskan bahawa belia Muslim masa kini berhadapan krisis makna yang semakin ketara, kesan daripada tekanan budaya sekular, naratif umum yang bercelaru, serta penggunaan media sosial yang berlebihan. Keadaan ini menyebabkan sebahagian belia terperangkap dalam budaya menghakimi, dahagakan pengiktirafan, dan mengalami kekosongan spiritual. Antara punca yang dikenal pasti ialah kelemahan kefahaman terhadap maqasid syariah serta kemerosotan adab dalam berbeza pendapat.
Beliau turut menyentuh tekanan lain yang semakin meningkat, termasuk ketidaktentuan ekonomi, cabaran kesihatan mental, krisis identiti, serta isu pembinaan bangsa dan masa depan negara.
Delegasi dari negara lain turut membentangkan laporan khusus mengikut konteks negara masing masing. Penekanan utama ASEAMYS 2026 kali ini adalah terhadap pembelajaran sesama rakan (peer learning) dan penyelesaian praktikal, bukan sekadar ulasan daripada pakar semata mata.
ABIM merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua delegasi yang terlibat, dan berharap pertukaran idea sepanjang sidang ini dapat diterjemahkan dalam bentuk kerjasama belia serantau yang lebih tersusun dan berimpak.
Moga semua delegasi memperoleh manfaat melalui perkongsian dan pertukaran idea yang berlangsung sepanjang sidang.
