
BANGI, 23 November 2025 – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah berjaya menganjurkan Muktamar Belia Islam ABIM kali ke-54 pada 22 November lalu bersamaan 1 Jamadil Akhir 1447H di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi. Penganjuran muktamar ini menandakan satu peralihan penting dalam hala tuju strategik ABIM sebagai gerakan kepimpinan belia Islam, khususnya dalam mendepani realiti generasi Gen Z dan cabaran dunia pascanormal.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, dalam Ucapan Dasar yang bertemakan “Generasi Nusa Madani: Menerajui Anjakan Masa Hadapan”, menekankan keperluan memperkasa belia Islam melalui pembinaan ilmu, adab dan kepakaran agar muncul sebagai agen perubahan sosial yang matang dan berwibawa.
Beliau turut menggariskan keutamaan ABIM dalam usaha merungkai krisis kemanusiaan global dan domestik melalui dakwah, advokasi serta perkhidmatan masyarakat. Menurutnya, pendekatan pencerahan yang lebih segar dan terbuka amat penting bagi memastikan gerakan ini terus relevan dan mampu berdialog dengan dunia pemikiran generasi muda era Gen Z.
Muktamar berkenaan turut memperkukuh fokus perjuangan ABIM termasuk visi Generasi Nusa Madani sebagai asas pembinaan negara bangsa beradab yang berteraskan nilai Ilahi, selain memperteguh amalan Fiqh al-Tamkin sebagai mekanisme membina masyarakat berdaya dan berintegriti.
ABIM dalam ketetapan muktamarnya turut menyeru kepimpinan negara agar lebih berhati-hati dalam percaturan geopolitik serantau serta memastikan suara masyarakat madani diperkasa menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025. Komitmen terhadap isu kemanusiaan antarabangsa, khususnya perjuangan untuk Palestin melalui Global Peace Mission (GPM) Malaysia, terus menjadi keutamaan gerakan itu.

Dalam aspek pembangunan belia, ABIM menegaskan iltizamnya memperkukuh kepimpinan generasi muda melalui pelbagai platform seperti Youth-Adult Partnership, Naqib & Akademi Nuqaba serta institusi pendidikan ABIM. Usaha memperkasa masyarakat turut diberi perhatian melalui advokasi pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) dan keselamatan sosial keluarga muda.
Muktamar tersebut turut menyaksikan pelantikan barisan kepimpinan baharu ABIM bagi sesi 2025–2027 yang diketuai oleh Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin sebagai Presiden, manakala Ustaz Mohamad Saifuddin bin Abdul Latiff dipilih sebagai Timbalan Presiden.
Turut dilantik ialah lima Naib Presiden iaitu Muhamad Aliemran bin Norasid, Dr. Fatin Nur Majdina binti Nordin, Adli Zakuan bin Zairakithnaini, Dr. Mohamad Haeqal bin Ishak dan Salman bin Mohd Yusop. Jawatan Setiausaha Agung disandang oleh Ahmad Fawwaz bin Ahmad Shukri, dengan Muhammad Dzul Aiman bin Zulkefly selaku Penolong Setiausaha Agung dan Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim sebagai Setiausaha Kewangan.

ABIM dalam kenyataan yang dikeluarkan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua perwakilan, delegasi antarabangsa, sukarelawan serta para peserta yang telah menjayakan muktamar kali ini. Gerakan itu turut menyeru seluruh masyarakat untuk mendoakan agar kepimpinan baharu dapat melaksanakan amanah perjuangan dengan penuh tekad, hikmah dan keberkatan.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
AHMAD FAWWAZ BIN AHMAD SHUKRI
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
