KENYATAAN MEDIA
ABIM SERU AED DIWAJIBKAN DI SEMUA MASJID DEMI MENYELAMATKAN NYAWA
27 September 2025 | 4 Rabiul Akhir 1447H

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik sambutan FIMA Lifesavers Day yang diraikan pada hari Sabtu terakhir bulan September setiap tahun. Sambutan ini merupakan inisiatif Federation of Islamic Medical Associations (FIMA) yang menghimpunkan lebih 40 melalui pertubuhan perubatan Islam di seluruh dunia untuk mengangkat kesedaran bahawa menyelamatkan satu nyawa adalah seumpama menyelamatkan seluruh umat manusia.
Seiring dengan tema ini, ABIM menggesa agar mesin Automated External Defibrillator (AED) diwajibkan di semua masjid di Malaysia. Masjid adalah pusat ibadah dan komuniti yang sentiasa dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas yang lebih berisiko mengalami serangan jantung secara mengejut. Kehadiran AED mampu meningkatkan kadar kelangsungan hidup mangsa sebelum rawatan lanjut diperoleh di hospital.
Sebagai sebahagian daripada komitmen ABIM dalam bidang kesihatan, Hospital Pakar Al-Islam (HPAI) setiap tahun tampil sebagai penggerak utama FIMA Lifesavers Day dan Karnival Al Islam di Malaysia. Program ini lazimnya dianjurkan di Masjid Negara, dengan penganjuran derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah dan aktiviti interaktif CPR dan kesedaran penggunaan AED.

Inisiatif ini bukan sahaja mengangkat fungsi masjid sebagai pusat ibadah, malah menjadikannya pusat khidmat komuniti dan penyelamat nyawa. ABIM bersama HPAI beriltizam untuk terus memperluas usaha ini ke seluruh negara.
Kajian perubatan antarabangsa menunjukkan bahawa kadar kematian akibat cardiac arrest atau serangan jantung mengejut boleh dikurangkan secara drastik sekiranya masyarakat memiliki kesedaran tinggi tentang CPR serta akses segera kepada AED. Statistik membuktikan peluang kelangsungan hidup boleh meningkat sehingga lebih 70% apabila CPR diberikan segera oleh orang awam, disusuli penggunaan AED dalam tempoh beberapa minit pertama sebelum ketibaan paramedik. Sebaliknya, tanpa sebarang tindakan awal, kadar kematian meningkat dengan pantas kerana setiap satu minit kelewatan mengurangkan peluang hidup mangsa sekitar 7 hingga 10 peratus.
ABIM turut menyeru syarikat-syarikat korporat untuk menjadikan penajaan AED, latihan CPR, serta kempen kesedaran kesihatan sebagai sebahagian daripada Corporate Social Responsibility (CSR) mereka. Sumbangan ini akan memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat dan dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa. Pada masa yang sama, kesedaran awam perlu diperkasa agar masyarakat tidak panik ketika kecemasan, sebaliknya segera menghubungi talian kecemasan 999, melaksanakan CPR asas, dan menggunakan AED sementara menunggu ketibaan paramedik. Dengan itu, setiap ahli kariah masjid akan lebih bersedia menghadapi sebarang insiden kesihatan mengejut.
Islam menegaskan kepentingan menjaga nyawa (hifz al-nafs) sebagai sebahagian daripada Maqasid Syariah. Firman Allah SWT: “Barangsiapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia.” (Surah al-Maidah: 32). Hadis Nabi Muhammad SAW juga menekankan: “Barangsiapa melepaskan satu kesusahan seorang mukmin di dunia, Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan di hari kiamat.” (Riwayat Muslim).
Justeru, ABIM menegaskan bahawa sambutan FIMA Lifesavers Day bukan sekadar peringatan tahunan, tetapi satu agenda kemanusiaan yang perlu dipraktikkan. Dengan mewajibkan AED di seluruh masjid, ditambah dengan inisiatif konsisten Hospital Pakar Al-Islam serta sokongan CSR dan kesedaran awam, kita memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat ibadah, khidmat komuniti, serta rahmat untuk semua.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
