ABIM Seru Siasatan Menyeluruh Berhubung Peletakan Jawatan Pegawai Kanan Pejabat Perdana Menteri

November 26, 2025
firdaus Abim

KENYATAAN MEDIA

ABIM Seru Siasatan Menyeluruh Berhubung Peletakan Jawatan Pegawai Kanan Pejabat Perdana Menteri

26 November 2025 / 5 Jamadil Akhir 1447H

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil maklum peletakan jawatan seorang Pegawai Kanan di Pejabat Perdana Menteri susulan dakwaan berkaitan isu pemberian wang tunai dan kelengkapan rumah daripada seorang ahli perniagaan.

ABIM menghormati keputusan beliau berundur sebagai suatu langkah bertanggungjawab bagi memberi ruang kepada siasatan yang bebas dan tanpa konflik kepentingan.

Namun, ABIM menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam dakwaan ini mesti disiasat, termasuk individu yang disyaki menawarkan atau memberikan sebarang bentuk imbuhan kewangan atau material.

Pemberi imbuhan juga perlu didakwa dan dipertanggungjawabkan dengan tindakan undang-undang jika terbukti bersalah selaras dalam peruntukan undang-undang.

Ini untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan secara menyeluruh, di mana ia turut meliputi usaha membasmi rasuah secara tuntas.

Bahkan tindakan perundangan seperti ini adalah penting untuk memberi tindakan agar perbuatan memberi serta meminta rasuah dapat dibasmi pada masa mendatang.

ABIM berpandangan bahawa sebarang dakwaan kecurangan tidak boleh dibiarkan berlegar sebagai persepsi, tetapi perlu dibuktikan secara objektif melalui proses undang undang yang adil dan saksama.

Dalam suasana negara sedang giat memperkukuh agenda anti rasuah, tidak wajar wujud apa apa pelanggaran etika atau integriti dalam pentadbiran awam, khususnya di posisi strategik membabitkan kepimpinan negara.

Sehubungan itu, ABIM menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada tekanan politik.

Jika terbukti wujud pelanggaran undang undang, maka tindakan tegas mesti diambil.

Sebaliknya, jika tiada asas terhadap dakwaan tersebut, proses ini penting untuk membersihkan nama dan memulihkan keyakinan awam.

ABIM berpegang bahawa keadilan hanya dapat ditegakkan melalui bukti, ketelusan dan kedaulatan undang undang, bukan melalui spekulasi.

“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo