
2 November 2025 – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menganjurkan sebuah Forum Perdana utama bertajuk “Membangun Adab, Membina Negara”. Forum ini telah diadakan di The Pearl Kuala Lumpur Hotel.
Forum ini menampilkan tiga panelis yang mengupas kepentingan adab dalam pembinaan negara iaitu Prof. Ts Dr. Zuriati bt. Ahmad Zukarnain, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM; Tuan Haji. Mohd Azmi b. Abdul Hamid, Presiden MAPIM; dan Sdr. Ahmad Fahmi b. Mohd Samsudin, Presiden ABIM.
Kesemua panelis telah berkongsi pandangan dan cadangan mengenai bagaimana adab yang tinggi dapat membentuk masyarakat yang utuh dan menyumbang kepada kestabilan negara. Pembangunan adab perlu seiring dengan pembangunan fizikal di mana peranan institusi keluarga, pendidikan, dan media sosial sangat penting dalam membentuk semula nilai-nilai adab di kalangan generasi muda.

Forum ini merupakan tema ‘Membina Adab’ yang diangkat oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai fokus utama program Dakwah Negara sepanjang bulan ini sehingga Disember depan. Terdahulu, Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom, dalam ucapan beliau menyatakan bahawa langkah mengangkat tema ini adalah sebagai respons pihak YADIM dalam berhadapan dengan isu adab yang semakin pudar dalam masyarakat. Ia sebagai langkah untuk membina generasi yang beradab dan memastikan tema adab diletakkan sebagai intipati dalam kehidupan seharian masyarakat umum tanpa mengira kaum.
Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pemerkasaan akhlak dan integriti di semua lapisan masyarakat, sekali gus membantu mewujudkan sebuah negara yang makmur dan harmoni.
