
6 Mei 2026, Angkatan Belia Islam Malaysia Daerah Tampin telah menerima jemputan bagi menghadiri dan menyertai Forum Diskusi Ilmiah sempena RTD Bersama Kepimpinan & Belia Beliawanis Masjid/Surau Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Masjid Usamah bin Zaid.
Program tersebut menghimpunkan kepimpinan belia masjid, agensi kerajaan serta tokoh masyarakat dalam membincangkan isu berkaitan pembangunan dan transformasi belia masjid di Wilayah Persekutuan.
Dalam program ini, Iqbal Ibnu Arifin selaku Yang Dipertua ABIM Daerah Tampin telah menerima jemputan sebagai salah seorang panel forum bagi sesi perbincangan ilmiah yang membawa tema “Transformasi Belia Beliawanis Dalam Pengimarahan Masjid / Surau Wilayah Persekutuan”.

Ketika sesi forum berlangsung, Dr Iqbal turut berkongsi pengalaman dan inisiatif ABIM Daerah Tampin melalui pelaksanaan Program BISMI yang pernah dijayakan pada tahun 2021. Program tersebut memfokuskan usaha mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid menerusi pelbagai aktiviti kerohanian, santai dan pembangunan sahsiah bagi menarik minat anak muda untuk hadir serta mengimarahkan masjid.
Forum berkenaan turut melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, YADIM dan Jabatan Belia dan Sukan.
Program ini turut dirasmikan oleh Menteri Agama YB Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menekankan kepentingan penglibatan golongan belia dalam menghidupkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan komuniti.
Penyertaan ABIM Daerah Tampin dalam program ini diharap dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik serta membuka ruang perkongsian idea dalam usaha melahirkan generasi belia yang aktif, berilmu dan berperanan dalam memakmurkan institusi masjid serta masyarakat setempat.
