Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin; Mengambil Ibrah Penjajahan Lama dan Peringatan Penjajahan Versi Baharu

November 30, 2025
Farhana ABIM

Setiap tahun pada 29 November, dunia memperingati Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin, satu detik yang mengingatkan kita bahawa tragedi kemanusiaan yang menimpa Palestin bukan sebuah episod baharu, tetapi rentetan penindasan yang telah berlangsung lebih tujuh dekad. Tarikh ini dipilih kerana pada 29 November 1947, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 181, iaitu pelan pembahagian tanah Palestin yang memperuntukkan 44% kepada penduduk Arab Palestin, 55% kepada negara Yahudi, serta 1% wilayah antarabangsa di Baitul Maqdis.

UNSCOP (3 September 1947; lihat garis hijau) dan rancangan pembahagian Jawatankuasa Ad Hoc PBB (25 November 1947).Cadangan Jawatankuasa Ad Hoc PBB telah diundi dalam resolusi tersebut.

Pelan ini yang digambarkan dalam peta pembahagian rasmi ditolak sepenuhnya ketika itu oleh rakyat Palestin dan negara-negara Arab, namun disambut baik oleh gerakan Zionis antarabangsa yang melihatnya sebagai peluang untuk melaksanakan dan mengabsahkan projek kolonial mereka secara sah.

Pelan tersebut tidak lahir dalam vakum sejarah. Ia merupakan kesinambungan kepada keputusan kolonial British seperti Deklarasi Balfour 1917 dan cadangan Peel Commission 1937, yang meminggirkan suara penduduk asal Palestin. Sebelum itu, UNSCOP iaitu Jawatankuasa PBB yang ditubuhkan bagi menilai masa depan Palestin hanya beroperasi selama tiga bulan dan turut dipengaruhi oleh pelobi Zionis, membuktikan bahawa masa depan Palestin ditentukan bukan oleh aspirasi rakyatnya tetapi oleh percaturan dan dominasi kuasa global. Keputusan-keputusan berat sebelah ini akhirnya membuka jalan kepada Nakbah 1948, ketika lebih 750,000 rakyat Palestin diusir, perkampungan mereka dihancurkan dari Haifa hingga Beersheba, dan pembersihan etnik berlaku secara sistematik. Nakbah bukan sekadar tragedi sejarah; ia adalah luka yang terus bernanah sehingga hari ini!

Menginjak ke tahun 2026, Hari Solidariti Palestin hadir dalam suasana yang paling gelap dan tragis sejak Nakbah 1948, sebuah kegelapan yang kini disaksikan dan berlaku di hadapan mata, bukan lagi melalui teks dan rujukan sejarah, tetapi secara real time, secara langsung, menerusi peranti di tangan manusia. Fenomena ini bukan sahaja menumpulkan sensitiviti moral, tetapi turut menormalisasikan kekejaman, menjadikan tragedi kemanusiaan sebagai episod harian yang tidak lagi menggerakkan hati nurani. Rakyat Palestin bukan sekadar angka atau statistik untuk tontonan.

Dua tahun selepas serangan 7 Oktober 2023, Gaza terus dihimpit penderitaan tanpa henti di bawah pendekatan genosid dan apartheid yang telah meragut lebih 160,000 nyawa yang terbunuh atau cedera, majoritinya wanita dan kanak-kanak, sementara lebih 10,000 lagi masih terperangkap dan hilang di bawah runtuhan bangunan.

Kebuluran pula meragut nyawa anak kecil dan warga emas, menjadikan Gaza bukan sekadar wilayah perang tetapi tanah perkuburan terbuka yang menelanjangi seluruh kegagalan sistem dunia. Ini adalah catatan hitam dalam sejarah manusia moden apabila suatu kemusnahan berskala besar yang bukan sahaja berlaku secara terbuka, malah diberi bukti, didokumentasikan, dan direkodkan, namun dunia tetap gagal menghentikan kiamat kemanusiaan ini. Lebih pahit untuk diterima, sistem antarabangsa yang kononnya berfungsi sebagai penjaga keamanan bukan sahaja gagal membendung kekejaman ini, malah menjadi saksi bisu kepada kehancuran sebuah bangsa.

Dalam menghadapi tragedi ini, warga dunia bukan sahaja telah sedar, tetapi wajib terus bangkit dengan konsisten dan berani. Demonstrasi besar-besaran telah memenuhi jalan raya di ibu kota dunia; kampus universiti menggerakkan boikot akademik, majlis konvokesyen mahasiswa dijadikan simbolik solidariti; beberapa kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan sokongan 137 negara anggota PBB telah mengiktiraf Negara Palestin, merangkumi sebahagian besar negara di dunia. Manakala badan antarabangsa seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pelaku jenayah genosid, Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant. Gelombang solidariti global ini membuktikan bahawa Palestin bukan lagi isu pinggiran, tetapi barometer moral dunia moden untuk menguji sama ada kita masih memiliki hati nurani, keberanian moral dan kompas kemanusiaan untuk menegakkan keadilan.

Namun amat malang jika dalam tempoh dua tahun ini, selepas kita menyaksikan pembantaian, penderitaan dan penindasan yang tidak terhenti-henti, ada antara kita yang sudah hilang rasa dan mati jiwa. Watak yang santai dan tidak lagi tersentuh melihat anak kecil mati kebuluran, ibu kehilangan keluarga, dan seluruh wilayah ditukar menjadi tanah perkuburan terbuka. Sedarkah kita bahawa inilah petanda paling bahaya apabila hati manusia tidak lagi bergetar melihat kezaliman? Lebih menakutkan, pernahkah kita terfikir bahawa apa yang berlaku di Palestin suatu hari nanti boleh terjadi kepada kita? Jika dunia boleh berdiam diri terhadap penindasan yang begitu jelas, apa jaminan dunia akan mempertahankan kita apabila tiba giliran kita?

Sesungguhnya apa yang terjadi kepada Palestin pada hari ini bukan hanya ujian kepada mereka, tetapi ujian kepada kita semua. Ujian terhadap iman kita kepada keadilan. Ujian terhadap komitmen kita terhadap kemanusiaan. Ujian terhadap keberanian kita untuk berkata benar di hadapan kekejaman dan kekuasaan. Palestin sedang menanggung luka tubuh, tetapi dunia termasuk kita sedang diuji luka jiwa, sama ada kita masih memiliki hati yang hidup, mata yang melihat, dan nurani yang tidak mati.

Namun ketika dunia memerhati dan menuntut keadilan, muncul pula satu perkembangan yang membimbangkan, apa yang disebut sebagai “Pelan Damai Gaza” oleh Donald Trump. Pelan ini diumumkan dengan penuh gimik dan seolah-olah mahu menawarkan penyelesaian, tetapi kandungannya menyingkap wajah baharu sebuah penjajahan lama. Dalam pelan itu, Gaza dicadangkan untuk ditadbir oleh jawatankuasa teknokrat apolitik di bawah pengawasan antarabangsa, dengan Trump sendiri menjadi ketua “Board of Peace”. Hamas diminta meletak senjata, tetapi tiada penjadualan jelas untuk rejim Israel berundur apatah lagi dipertanggungjawab. Malah, sehingga kini Israel terus mengebom, membunuh dan menembak sewenang-wenangnya rakyat Palestin. Rejim malah mahu terus mengekalkan perimeter keselamatan walaupun selepas kononnya pengunduran berlaku. Pembentukan negara Palestin pula disebut dengan samar-samar, tanpa sebarang komitmen konkrit.

Pelan ini jika kita tidak kritikal melihatnya, maka akan mengulangi kesilapan sejarah yang sama iaitu Palestin diletakkan di bawah kuasa asing, sedangkan penjajah dibenarkan mengekalkan kekuasaan. Ia mengingatkan kita kepada bagaimana Resolusi 181 pernah digunakan sebagai alat untuk merampas tanah Palestin, dan bagaimana UNSCOP yang kononnya neutral gagal kerana dikuasai lobi Zionis. Inti masalah Pelan Trump jelas jika tidak menamatkan penjajahan, tetapi cuba mengurus penjajahan dengan wajah diplomatik yang baharu. Ia memaksa ‘mangsa meletakkan senjata’, sementara membenarkan ‘penjajah terus bersenjata’. Ia menuntut penyerahan Palestin atas nama “damai”, sedangkan damai tidak mungkin wujud tanpa kebebasan sebenar.

Malaysia melalui Wisma Putra perlu terus bertegas bahawa damai bukan bermaksud menyerah. Damai bukan dicipta oleh pelan yang mengekalkan ketidakadilan. Damai hanya boleh wujud apabila Palestin benar-benar bebas menentukan masa depannya sendiri tanpa kawalan asing, tanpa perimeter tentera Israel, dan tanpa syarat berat sebelah yang mematikan perjuangan kemerdekaan mereka. Kedaulatan negara bernama Palestin mesti menjadi asas, bukannya pilihan sampingan.

Dalam konteks ini, Ilan Pappé dalam buku terbarunya Israel on the Brink; Eight Steps for a Better Future menegaskan bahawa penyelesaian status quo termasuk model dua negara tidak memadai kerana ia tidak memecahkan struktur penjajahan dan ketidakseimbangan kuasa yang menindas rakyat Palestin hingga hari ini. Beliau mengusulkan idea Decolonization and Coexistence iaitu membina semula sistem politik dan sosial yang benar-benar inklusif setelah penjajahan benar-benar dihapuskan, agar kewujudan bersama secara aman dapat lahir atas dasar persamaan hak, bukan dominasi.

Pandangan ini seiring dengan amaran Mahatma Gandhi dalam suratnya kepada Martin Buber Sarjana Yahudi Jerman pada 1930-an.

 “If I would have been convinced that the Jews of Europe want to live alongside the Arabs of Palestine, I would be the greatest supporter of Zionism. My impression is that you want to live instead of the Palestinians and therefore you will never get my blessing for such a colonialist project.”

Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin mengingatkan kita bahawa keadilan sebenar masih ditangguhkan. Hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, pembentukan negara berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta hak pelarian untuk kembali ke tanah asal mereka masih belum dipenuhi walaupun PBB mengiktirafnya sebagai hak inalienable. Selagi tuntutan asas ini tidak ditegakkan, sebarang pelan damai hanyalah kosmetik kepada struktur penjajahan yang tidak berubah.

ABIM menegaskan bahawa solidariti terhadap Palestin bukanlah pilihan politik tetapi kewajipan moral. Ia menuntut kita memahami sejarah sebenar, menolak naratif yang dimanipulasi, dan mengiktiraf hakikat bahawa Palestin bukan mangsa konflik simetri tetapi mangsa kepada penjajahan. Dalam dunia yang semakin hilang kompas moral, berdiri seiringan bahu membahu bersama Palestin adalah simbol bahawa manusia masih mampu mempertahankan keadilan.

Selagi Gaza terus dihujani peluru, selagi Tebing Barat terus dirampas, selagi pelarian Palestin masih dilarang pulang, dan selagi pelan-pelan damai baharu terus cuba menghalalkan penindasan lama, selagi itulah Hari Solidariti Palestin akan kekal relevan untuk diingati. Palestin tidak perlukan pelan baharu yang memadamkan hak mereka. Palestin perlukan keadilan yang telah lama dinafikan.

ABIM berdiri teguh pada prinsip bahawa keadilan tidak boleh dirunding oleh penjajah, dan kemerdekaan tidak boleh digantikan dengan pentadbiran teknokrat. Palestin hanya akan merdeka apabila penjajahan benar-benar ditamatkan dan rakyatnya bebas menentukan masa depan mereka sendiri. Dan di sinilah makna sebenar solidariti bahawa kita tidak akan berhenti bersuara selagi keadilan belum ditegakkan.

Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo