
27 September 2025 — Ibu bapa era digital diseru untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan memainkan peranan sebagai rakan strategik anak-anak dalam menghadapi cabaran dan peluang masa hadapan. Seruan ini merupakan intipati utama yang ditekankan dalam Forum Keibubapaan yang berlangsung sempena Karnival Pendidikan Putrajaya 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Perbadanan Putrajaya.
Forum anjuran Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya ini menggariskan keperluan ibu bapa untuk menutup jurang pengetahuan (knowledge gap) dengan anak-anak yang kini terdedah secara langsung kepada teknologi pesat.
Dr. Fatin Nur Majdina, Naib Presiden HELWA ABIM, menyeru ibu bapa memperkasa ilmu dan menjadikan ia sebagai ‘kuasa’ dalam membentuk anak-anak.

“Kuasa ibu bapa yang sebenar bukan terletak pada larangan semata-mata, tetapi pada ilmu dan kebolehan untuk mengawal masa serta membuat pemantauan yang beretika dengan berpandukan peraturan yang telah disepakati,” jelas beliau.
Sementara itu, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi bin Abu Husain, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, menekankan bahawa perubahan landskap kerjaya masa hadapan menuntut pendekatan keibubapaan yang berbeza.
“Ibu bapa mesti menjadi rakan strategik yang membimbing anak-anak ke arah kerjaya masa hadapan ini. Jurang knowledge antara ibu bapa dan anak perlu ditangani secara proaktif agar bimbingan yang diberikan adalah relevan dan berkesan,” katanya.

Beliau menambah, pembinaan hubungan sebagai rakan strategik membolehkan komunikasi terbuka dan pemahaman bersama, sekaligus mempersiapkan anak-anak bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga kemahiran digital yang kritikal.
Forum ini diharapkan dapat menjadi pencetus kesedaran kepada ibu bapa untuk segera melengkapkan diri dengan pengetahuan digital agar anak-anak terpandu sekaligus dapat bersaing dan cemerlang pada masa hadapan.
