
KENYATAAN MEDIA
Kegagalan Pengesahan Dokumen Pemain Warisan: ABIM Desak Akauntabiliti Penuh, Elak Malaysia Terus Dimalukan di Mata Dunia
7 Oktober 2025 | 15 Rabiul Akhir 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius laporan rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA Disciplinary Committee (FDD-24394) berhubung kes pemain warisan yang didaftarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Laporan tersebut menunjukkan bahawa dokumen kelahiran yang diserahkan kepada FIFA oleh pihak FAM mengandungi perbezaan ketara dengan sijil kelahiran asal yang diperoleh terus oleh FIFA daripada pihak berkuasa negara asal seperti Belanda, Sepanyol dan Argentina.
Lebih membimbangkan, pengakuan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikemukakan sendiri oleh FAM kepada FIFA menyatakan bahawa sijil kelahiran berkenaan tidak berpaksikan dokumen asal, sebaliknya dikeluarkan berdasarkan maklumat sekunder dan salinan tidak sahih.
ABIM menegaskan bahawa laporan ini bukan sekadar soal kesalahan teknikal dalam pendaftaran pemain, tetapi menyentuh soal integriti sistem pentadbiran negara dan kedaulatan undang-undang Malaysia sendiri. Apabila badan antarabangsa seperti FIFA perlu mengesahkan kebenaran asal-usul dokumen kelahiran rakyat Malaysia, ia menunjukkan bahawa keyakinan terhadap keutuhan sistem kita telah terjejas. Lebih parah, kenyataan bahawa JPN sendiri tidak memiliki rekod fizikal asal untuk beberapa individu adalah satu tamparan terhadap kredibiliti pentadbiran awam negara.
ABIM juga mempersoalkan bagaimana FAM boleh menyerahkan dokumen yang tidak diverifikasi sepenuhnya kepada FIFA tanpa melalui semakan sahih bersama JPN, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra. Kegagalan ini bukan hanya memalukan FAM, tetapi menjejaskan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa. Negara kini terpaksa menanggung implikasi moral dan reputasi kerana kelemahan asas dalam urus tadbir dan kawalan dokumen rasmi.
Isu ini turut memberi kesan langsung kepada dasar pemain warisan Malaysia serta kepada rakyat Malaysia di luar negara yang memohon pengiktirafan kewarganegaraan melalui saluran sah. Sekiranya kelemahan ini tidak diperbetulkan, Malaysia akan dilihat sebagai negara yang mudah memanipulasi dokumen rasmi demi kepentingan sementara. Ini sangat bertentangan dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai amanah, integriti dan tanggungjawab.
ABIM menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Dalam Negeri, untuk melaksanakan siasatan dalaman yang bebas bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap penghantaran dokumen tidak sah kepada FIFA. Audit menyeluruh perlu dijalankan terhadap semua dokumen pemain warisan yang telah didaftarkan bagi memastikan tiada lagi unsur pemalsuan atau percanggahan. Kerjasama rasmi antara FAM, JPN dan Wisma Putra perlu diwujudkan bagi menjamin ketelusan dalam sebarang proses pengesahan dokumen berkaitan sukan di masa hadapan.
ABIM menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal bola sepak, tetapi soal maruah negara. Malaysia tidak boleh dilihat sebagai negara yang longgar terhadap ketelusan dan keabsahan dokumen rasmi. Akauntabiliti mesti ditegakkan sepenuhnya, bukan hanya melalui kenyataan maaf tetapi melalui tindakan pembetulan yang nyata.
Dalam dunia yang menilai kejujuran lebih tinggi daripada kemenangan, keberanian menegakkan kebenaran adalah kemenangan sebenar bagi Malaysia.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri
Naib Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
