MALINDO MADANI RANGKA STRATEGI PERKUKUH PERADABAN UMAT
August 28, 2025
firdaus Abim
Petaling Jaya, 23 Ogos – Seramai 45 tokoh cendekiawan Muslim dari Indonesia bersama barisan ilmuwan Malaysia menghadiri Majlis Cendekiawan Madani Malaysia-Indonesia (MALINDO MADANI) yang berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos 2025 di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Petaling Jaya.
Program berprestij itu membincangkan sasaran jangka pendek dan jangka panjang agenda ‘pohon’ dan ‘akar’ umat serantau, iaitu rangka strategik memperkukuh hala tuju ummah berteraskan nilai peradaban Madani.
Pengerusi CDCC Indonesia, Prof. Dr. M. Din Syamsuddin, berkata program ini menjadi wadah penting untuk merumuskan strategi bersama antara dua negara serumpun.
“Program yang menghimpunkan cendekiawan Muslim dari Malaysia dan Indonesia bertujuan untuk merumuskan strategi peradaban Madani, wawasan yang solid dan compact, yang kemudian akan diterjemahkan kepada pelan jangka pendek dan jangka panjang,” jelasnya.
Majlis ini dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala majlis penutup disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hassan, Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama).
Dalam pada itu, Prof Madya Dr Nur Idzura Udzir menegaskan kepentingan kerangka MALINDO MADANI sebagai platform memperkukuh kesepaduan ilmu dan kebijakan antara Malaysia dan Indonesia.
“Kerjasama ilmuwan serantau ini penting untuk melahirkan gagasan peradaban Madani yang tidak hanya bersifat reaktif terhadap cabaran semasa, tetapi juga proaktif dalam membina akar kukuh umat. Ia mampu membimbing generasi akan datang dengan panduan yang jelas, berpaksikan nilai ihsan, keadilan dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
Menurut beliau, strategi jangka pendek yang akan dirangka wajar memberi tumpuan kepada pendidikan, pengukuhan institusi masyarakat sivil, serta membendung cabaran sosial serantau. Manakala sasaran jangka panjang pula perlu mengangkat nilai ilmu, integrasi budaya dan diplomasi rakyat demi membentuk rantau Nusantara yang lebih berdaya saing, stabil, dan harmoni.
Sementara itu, YB Senator Dr Zulkifli Hasan dalam ucapan penutupnya menzahirkan penghargaan atas semangat kedua-dua delegasi.
“Alhamdulillah, saya merasmikan Majlis Penutup Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia (MALINDO MADANI) di IAIS Malaysia. Majlis ini menghimpunkan para tokoh ilmuwan kedua negara dengan semangat untuk menggerakkan agenda MADANI pada peringkat serantau dan antarabangsa. Insya-Allah, MALINDO MADANI telah bersetuju untuk diadakan persidangan kedua di Jakarta pada Ogos tahun hadapan.”
Beliau turut menekankan bahawa idea Madani yang diketengahkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX), mempunyai akar sejarah yang panjang.
“Menarik kerana sejarah idea Madani oleh YAB Perdana Menteri bermula di Indonesia. Istilah Madani ini diperkenalkan kali pertama pada 26 September 1995 di Festival Istiqlal, Jakarta, melalui ucaptama Islam dan Pembinaan Masyarakat Madani. Pada 1996, beliau pula mengangkat tema Pembinaan Masyarakat Madani Model Malaysia di Konvensyen UKM, dan pada tahun sama menerbitkan karya besar The Asian Renaissance,” ujarnya.
Dr Zulkifli menambah, kesinambungan ini berterusan apabila PMX menerbitkan SCRIPTS for a Better Malaysia pada tahun 2023, dan kini bersedia meluncurkan karya terbaharu bertajuk Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times.
“Saya sendiri menyaksikan PMX menyemak deraf buku ini setiap helaian muka surat semasa mengiringi beliau dalam lawatan luar negara. Semoga usaha MALINDO MADANI ini akan mencetuskan gerakan Madani pada peringkat serantau dan seterusnya antarabangsa,” katanya.
Program ini dilihat sebagai satu langkah bersejarah dalam merangka hala tuju peradaban Madani di rantau Asia Tenggara, menekankan kesatuan fikrah dan tindakan dalam menghadapi cabaran globalisasi.