MAWLANA SALMAN AL-NADWI SAMPAIKAN SYARAHAN KHAS DI KOLEJ DAR AL-HIKMAH (KDH), KAJANG

June 5, 2022
editor@abim

MAWLANA SALMAN AL-NADWI SAMPAIKAN SYARAHAN KHAS DI KOLEJ DAR AL-HIKMAH (KDH), KAJANG

25hb Mei 2022: Alhamdulillah, ABIM bersama Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Wadah dan PKPIM berkesempatan menganjurkan Syarahan Khas bersama Mawlana Sayyid Salman Al-Husaini al-Nadwi di KDH, Jalan ABIM, Sungai Ramal Dalam.

Mawlana sempat mengimbau kenangan saudara beliau iaitu seorang ulama besar – Sayyid Abul Hasan Ali Al-Hasani Al-Nadwi ketika kali pertama datang Malaysia atas jemputan ABIM. Semenjak itu, hubungan ABIM bersama An-Nadwi berterusan dari pusat ke negeri termasuk dengan penubuhan Sekolah Maahad Tarbiah Islamiyyah Derang ABIM di Kedah atas kunjungan An-Nadwi dulu.

Almarhum Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam an-Nadwi al-Maliki bersama Almarhum Syeikh Ni’amat Yusoff (Yang Dipertua ABIM Kedah Pertama) yang membangunkan Maahad Derang dengan jerih payah, membawa Almarhum Samahatus Syeikh Prof. Dr. Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi, Rektor Nahdatul Ulama, Lucknow, India merangkap Canselor Pusat Islam, Universiti Oxford ke Malaysia pada 1987 (melalui ABIM) dan ditemukan dengan YB Dato’ Seri Ustaz Abdul Hadi Awang (ceramah di Masjid Rusila), YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Presiden ABIM Kedua), Almarhum Prof. Dato’ Dr. Ustaz Sidiq Fadzil (Presiden ABIM Ketiga), Prof. Muhammad Abdul Rauf (Rektor UIAM ketika itu) dan lain-lain.

Pada 5hb April 1987, Maahad Derang yang diasaskan pada 1981, telah dirasmikan pertambahan tanahnya seluas 2.5 ekar hasil sumbangan orang ramai oleh Syeikh Abul Hasan an-Nadwi sendiri. Terdahulu, Maahad Derang diasaskan pada 1981 di atas tapak seluas 10 ekar di Kampung Tengah Mukim Derang, Pokok Sena, Kedah yang dibeli dengan harga RM30,000 dan diwaqafkan oleh 40 orang pendokong pertama Maahad yang diketuai oleh Almahum Syeikh Niamat Yusuf.

Sebagai mengenang jasa dan sumbangan Almarhum Syeikh an-Nadwi, sebuah blok bangunan 3 tingkat di Maahad Derang dinamakan sempena nama Almarhum, dan dirasmikan oleh mantan Presiden ABIM Ketiga, Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Untuk rekod, Almarhum Syeikh Ni’amat Yusoff dan Almarhum Syeikh Ghazali Bin Abdullah (Syeikhul Maahad Derang dan Mantan Yang Dipertua ABIM Kedah ke-5) merupakan antara pengasas Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ABIM (TASKI) yang telah diusahakan sejak 1975-1979.

Sementelah, Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali (Mantan Timbalan Presiden ABIM) telah menghasilkan “Biografi Agung Abu Al-Hasan Ali Al-Nadwi” pada 2016, antaranya hasil bantuan Almarhum Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam sendiri.

Sementara itu, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyifatkan Syeikh an-Nadwi sebagai saudara, guru dan kekasihnya. Saudara (Akhi) kerana ikatan persaudaraan sesama Islam dan hubungan yang terjalin sejak an-Nadwi datang ke Mesir. Guru (Shaykhi) kerana al-Qardhawi belajar banyak daripada beliau dengan membaca buku-buku dan pengalamannya. Kekasih (Habibi) kerana al-Qardhawi amat mengasihinya atas keikhlasan, kezuhudannya, kesederhanaan dan pemikiran yang jauh dari khurafat dan syirik.

Semoga hubungan ABIM dan kelompok ulama ilmuwan khususnya jaringan Syeikh an-Nadwi berterusan insya Allah. Al-Fatihah sekudusnya buat sekalian yang telang pulang ke Rahmatullah. Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un…

•••

Sumbangan anda amat bermakna. Klik: https://www.billplz.com/kssb1443H

Dan sertai ABIM di sini: https://www.abim.org.my/daftar-keahlian-online/

#ABIMdiHatiku#GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR