
6 April 2026 – Pembangunan sesebuah negara yang maju tidak seharusnya hanya bergantung kepada kemajuan material semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan kepada pembentukan masyarakat yang mempunyai “jiwa” yang hidup.
Dalam satu perkongsian di rancangan Minda Madani terbitan IKIMfm, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr. Fatin Nur Majdina, menjelaskan bahawa konsep “jiwa” dalam masyarakat Madani merangkumi elemen batin, rohani, dan semangat.
Menurut beliau yang juga merupakan Pensyarah Kanan. Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Fatin Nur Majdina, peradaban yang teguh dibina oleh manusia yang mempunyai akal dan hati yang hidup, bukan sekadar pembangunan fizikal atau infrastruktur sahaja.

“Tanpa nilai kemanusiaan, manusia berisiko “kalah” kepada mesin dan robot,” kata Dr Fatin ketika mengulas menekankan kepentingan untuk “memanusiakan manusia” semula, terutamanya ketika dunia kini semakin didominasi oleh teknologi digital dan Kepintaran Buatan (AI).
Oleh itu penerapan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, ihsan, hormat-menghormati, dan keyakinan menurutnya adalah kritikal untuk memastikan martabat atau Karamah Insaniah (kemuliaan insan) setiap individu terpelihara tanpa mengira latar belakang mereka.
Mengulas lanjut mengenai pembentukan masyarakat, Dr. Fatin menyatakan bahawa “negara dibina dengan manusia dan manusia dibina dengan adab”
Adab, yang ditakrifkan sebagai sifat adil dalam meletakkan sesuatu pada tempatnya, menjadi asas kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Beliau turut mengingatkan masyarakat agar menjaga keseimbangan antara hak dan tanggungjawab.
”Kita tidak hanya menuntut hak semata-mata, tetapi perlu sedar dan melaksanakan tanggungjawab kita bagi memastikan kestabilan sosial dapat dicapai,” jelasnya.
🗳️Menyumbanglah seikhlas hati anda, walaupun RM1. Klik infaqabim.com
📝Dan sertai ABIM di sini: https://app.myabim.my/login
