
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius pendedahan terbaharu Bloomberg yang mengaitkan dakwaan kewujudan rangkaian “mafia korporat” dengan hubungan rapat terhadap pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dakwaan penyalahgunaan kuasa penguatkuasaan untuk menekan dan memaksa pengambilalihan syarikat tertentu.
ABIM menegaskan bahawa isu ini bukan lagi sekadar persoalan konflik kepentingan individu. Ia telah berkembang menjadi persoalan besar mengenai kredibiliti institusi, negara hukum, dan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi. Sehubungan itu, ABIM menuntut:
1. Siasatan bebas dan telus dilaksanakan segera, kerana SPRM tidak boleh menyiasat kepimpinan tertingginya sendiri.
2. Mana mana pegawai kanan yang dinamakan atau mempunyai kaitan langsung perlu direhatkan sementara demi memulihkan keyakinan awam.
3. Kerajaan wajib mempertimbangkan mekanisme seperti RCI atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diberi kuasa jelas.
4. Reformasi institusi SPRM mesti dipercepat, termasuk proses pelantikan, semak imbang Parlimen, pengisytiharan aset, dan had tempoh jawatan.
ABIM memberi amaran bahawa jika dakwaan seperti ini dibiarkan tanpa tindakan tegas, Malaysia berisiko menjadi negara di mana undang undang boleh dimanipulasi oleh jaringan kuasa gelap, dan institusi anti rasuah hilang wibawa.
ABIM menyeru seluruh pihak untuk bermuhasabah. Negara ini tidak boleh diselamatkan dengan retorik. Negara ini hanya boleh dipulihkan dengan amanah, keberanian, dan reformasi yang sebenar.
ABIM kekal konsisten dengan prinsip Menegakkan Kebenaran dan Keadilan.
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
