
12 Disember 2025 I 21 Jamadilakhir 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius polemik berkaitan cadangan pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC). Dalam sebuah negara majmuk, isu pendidikan mesti ditangani dengan kebijaksanaan, keseimbangan dan berpaksikan perpaduan nasional. ABIM menegaskan bahawa isu ini tidak wajar dipolitikkan atau dijadikan alat meraih sokongan mana-mana pihak, apatah lagi dilihat melalui kanta sentimen kaum. Ia perlu dirujuk kepada fakta, sejarah dan dasar pendidikan negara yang telah terbina sejak awal kemerdekaan.
ABIM menolak sebarang usaha memanipulasi isu UEC sebagai alat politik yang boleh mengganggu keharmonian kaum dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan kebangsaan. Malaysia memerlukan politik nilai yang memperkukuh integrasi nasional, bukan politik sentimen yang meretakkan hubungan antara komuniti.
ABIM ingin menegaskan satu fakta asas yang sering dikesampingkan dalam perbahasan umum bahawa pelajar sekolah menengah persendirian Cina sebenarnya telah pun mempunyai akses yang sah, terbuka dan berwibawa ke universiti awam melalui STPM serta laluan-laluan sedia ada yang diiktiraf. Oleh itu, naratif seolah-olah pelajar Cina terhalang daripada memasuki universiti awam adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan realiti dasar pendidikan negara.

Sekiranya kerajaan ingin mempertimbangkan pengiktirafan UEC sekalipun, ia hanya boleh dilaksanakan tanpa mengkompromikan syarat wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM, serta memastikan kurikulum pendidikan kebangsaan tetap menjadi asas penandaarasan utama. Dengan kata lain, kurikulum dan peperiksaan yang dikelolakan Kementerian Pendidikan Malaysia tidak boleh dikesampingkan atas apa jua justifikasi.
Malaysia ialah sebuah negara majmuk yang telah lama membuktikan bahawa kepelbagaian budaya dapat hidup subur dalam ruang kebangsaan yang sama. Setiap komuniti bebas mengamalkan budaya serta adat yang membentuk jati diri masing-masing, namun hal tersebut tidak pernah menafikan keperluan untuk mengekalkan asas pendidikan nasional sebagai paksi penyatuan warga.
ABIM kekal komited menjadi jambatan dialog dan rakan strategik kerajaan dalam memastikan dasar pendidikan Malaysia dibina atas asas integrasi, kualiti dan keadilan untuk semua, tanpa mengorbankan prinsip kebangsaan yang menjadi teras negara.
‘Menegakkan Kebenaran dan Keadilan’
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
