KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
TABAYYUN, WACANA BERFAKTA DAN TANGGUNGJAWAB KEPEMIMPINAN DALAM ISU KRISIS TENAGA
9 April 2026 | 20 Syawal 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia mengambil maklum wacana semasa yang mengaitkan isu harga minyak dan geopolitik dengan dakwaan bahawa umat Islam ditipu. ABIM menegaskan bahawa Islam menuntut umatnya agar tidak mudah diperdaya serta mengangkat prinsip tabayyun, keadilan dan keilmuan dalam menilai sesuatu maklumat dan kepimpinan. Namun penggunaan istilah yang berat dalam ruang awam perlu disandarkan kepada fakta yang sahih serta analisis yang bertanggungjawab.

Dalam konteks semasa, isu tenaga tidak boleh dipisahkan daripada realiti global. Ketegangan geopolitik di Asia Barat termasuk gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan harga tenaga dunia sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kesan ini turut dirasai oleh banyak negara tanpa mengira mazhab atau pendirian politik.
Justeru perbezaan pandangan terhadap dasar kerajaan tidak wajar disederhanakan kepada tuduhan penipuan tanpa analisis ekonomi dan fakta yang dapat diverifikasi kerana ia berisiko mengelirukan masyarakat serta mengalihkan fokus daripada perbahasan dasar yang lebih substantif.
ABIM menegaskan bahawa peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang adalah penting khususnya dalam suasana global yang tidak menentu. Namun peranan tersebut perlu dilaksanakan secara berwibawa dengan mengemukakan cadangan dasar yang konkrit dan berasaskan fakta bukan sekadar retorik.
Dalam masa yang sama kerajaan perlu terus memperkukuh komunikasi dasar secara telus dan konsisten memastikan pelaksanaan subsidi bersasar yang berkesan serta memperkasa keselamatan tenaga negara. Sebarang perubahan pendekatan dasar juga wajar disertai penjelasan yang jelas agar keyakinan awam terus terpelihara.
Perbincangan awam perlu ditumpukan kepada usaha memperkukuh perlindungan kepada golongan rentan menjamin keselamatan tenaga serta memastikan keseimbangan antara kebajikan rakyat dan kelestarian fiskal. ABIM menyeru masyarakat untuk mengamalkan prinsip tabayyun serta bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat di samping mengamalkan gaya hidup berhemah dalam penggunaan sumber.
ABIM turut mengajak semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, masyarakat madani dan rakyat keseluruhannya untuk berganding bahu menghadapi krisis tenaga yang dijangka berpanjangan. Dalam mendepani cabaran ini semangat perpaduan nasional perlu diperkukuh sebagai asas kekuatan negara.
Pengalaman pandemik COVID-19 membuktikan bahawa daya tahan negara bergantung pada keupayaan untuk bersatu serta mengutamakan kepentingan bersama. Ketegangan geopolitik yang menjejaskan bekalan tenaga dan meningkatkan kos sara hidup merupakan cabaran sejagat yang menuntut semua pihak bertindak secara matang demi memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan.
Malaysia memerlukan budaya politik yang matang berteraskan ketepatan fakta, kejujuran dasar dan tanggungjawab bersama. Dalam keadaan krisis disiplin fakta dan kejujuran intelektual bukan lagi pilihan tetapi keperluan asas dalam kepimpinan negara.
Sesungguhnya kekuatan umat terletak pada keupayaan memahami realiti dengan tepat menilai dengan adil dan bertindak dengan penuh amanah.
Menegakkan Kebenaran dan Keadilan
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
